Mohon Peruntukan Kerajaan Pusat Tanah runtuh di Taman Negara Kinabalu Kundasang kata Bung
08:01 Jan 21, 2021  |  By SabahKini2
Mohon Peruntukan Kerajaan Pusat Tanah runtuh di Taman Negara Kinabalu Kundasang  kata Bung

Kementerian kerja raya akan memohon peruntukan dari kerajaan pusat bagi membaiki runtuhan ini dan kita akan menyediakan anggaran kos peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan kepada mereka dalam masa terdekat ini.

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya Sabah, Bung Moktar Radin berkata pihaknya akan memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk membaiki kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu, di Kundasang, yang runtuh 

Katanya, walaupun kawasan runtuhan itu tidak membabitkan jalan utama antara Kota Kinabalu dan Ranau, namun kesan jangka panjang mungkin boleh menjejaskan laluan itu jika tidak dibaiki segera.

”Kementerian kerja raya akan memohon peruntukan dari kerajaan pusat bagi membaiki runtuhan ini dan kita akan menyediakan anggaran kos peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan kepada mereka dalam masa terdekat ini.

”Walaupun runtuhan tidak membabitkan jalan utama iaitu jalan persekutuan, kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan segera kerana kawasan ini menjadi tumpuan pelancong dan menjadi tempat meletak kenderaan bagi pengunjung yang ingin melawat Taman Kinabalu,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, runtuhan tanah berkenaan membabitkan kawasan sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda berlaku berikutan kejadian itu.

Tanah runtuh itu juga susulan hujan berterusan yang melanda beberapa daerah di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Bung turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan.

Katanya, pihak JKR telah memasang papan tanda amaran selain melakukan penyelenggaraan sementara bagi memastikan runtuhan itu tidak memberi kesan kepada laluan utama.

”Pengguna jalan raya perlu berjaga-jaga ketika melalui kawasan itu kerana ketika ini masih lagi musim hujan dan sekiranya perlu, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif di Jalan Bundu Tuhan Kinasaraban,” katanya. 

4 Comments