COVID-19: 45 pelajar SPM, STPM di Sabah positif selepas 9 kes baru
15:01 Jan 21, 2021  |  By SabahKini2
COVID-19: 45 pelajar SPM, STPM di Sabah positif selepas 9 kes baru

Masidi dilaporkan berkata, 36 pelajar SPM dan STPM yang positif Covid-19 dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk menjalani rawatan.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, sembilan lagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) positif Covid-19, menjadikan keseluruhan 45 pelajar dijangkiti virus itu.

Katanya, sembilan kes baru itu dikesan melalui saringan pelajar sebelum memasuki asrama bermula 16 Jan lalu.

“Daripada 401 kes baru yang dicatatkan di Sabah hari ini, sembilan kes atau 1.72% adalah saringan pelajar masuk ke asrama,” katanya dalam taklimat perkembangan Covid-19 di Sabah.

Semalam, Masidi dilaporkan berkata, 36 pelajar SPM dan STPM yang positif Covid-19 dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk menjalani rawatan.

Katanya, pelajar terbabit boleh menyertai pembelajaran dalam talian kerana kerajaan menyediakan perkhidmatan internet di semua PKRC negeri itu.

Sementara itu, Masidi berkata, dua kluster baru dikesan di Sabah hari ini membabitkan industri perladangan dengan jumlah kumulatif 50 kes setakat ini.

Katanya, kluster Ladang Sebrang di Lahad Datu dan Silimpopon di Kalabakan masing-masing mencatat 21 dan 29 kes Covid-19.

“Kluster Ladang Sebrang hari ini mencatat sembilan kes baru dengan kes indeks dikesan menerusi saringan bergejala pada 9 Jan lalu di Klinik Kesihatan Silabukan dan hasil saringan kontak rapat di tempat kerja mendapati 20 kes positif Covid-19 di kilang memproses sawit itu.

“Kluster Silimpopon yang juga melibatkan industri perladangan yang mencatat lima kes baru dengan kes indeks merupakan pekerja buruh di sebuah syarikat perladangan di kawasan berkenaan yang disahkan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala pada 6 Jan lalu dan hasil saringan kontak rapat di tempat kerja mendapati 28 lagi kes positif.”

 

2 Comments