RM150 juta baik pulih jalan,jambatan rosak akibat banjir, tanah runtuh di Sabah- Bung
15:01 Jan 24, 2021  |  By SabahKini2
RM150 juta baik pulih jalan,jambatan rosak akibat banjir, tanah runtuh di Sabah- Bung

Terdapat lebih 100 jalan dan jambatan tidak boleh dilalui. Namun, tindakan pantas JKR bagi membuat lencongan dan perbaiki jalan-jalan itu kini, hanya 17 sahaja lagi jalan yang langsung tidak boleh dilalui.

RANAU : Kira-kira RM150 juta diperlukan untuk kerja-kerja baik pulih jalan yang rosak akibat banjir serta tanah runtuh yang melanda Sabah baru-baru ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung berkata, pada peringkat awal terdapat lebih 100 jalan dan jambatan tidak boleh dilalui.

Namun, tindakan pantas JKR bagi membuat lencongan dan perbaiki jalan-jalan itu kini, hanya 17 sahaja lagi jalan yang langsung tidak boleh dilalui.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan kerajaan persekutuan bagi menyediakan peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan yang mengalami runtuhan ini.

“Ada jalan-jalan yang diselenggara oleh pihak konsesi dan jika ia dikendalikan konsesi berkenaan, kami akan berikan kepada konsesi tersebut

“Tetapi ada jalan (rosak) tidak diurus oleh konsesi selenggara, oleh itu ia akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan tanah runtuh tempat letak kereta awam Taman Kinabalu, Kundasang di sini hari ini.

Tapak letak kereta Taman Kinabalu, Kundasang

Sementara itu, mengulas mengenai tempat tapak letak kereta yang terjejas akibat tanah runtuh itu, Bung Moktar berkata dianggarkan antara RM30 juta dan RM40 juta diperlukan untuk kerja-kerja baik pulih.

Katanya pihak JKR perlu meneliti dan membuat kajian termasuk pergerakan tanah bagi memastikan struktur tanah di kawasan itu stabil dan kejadian tanah runtuh tidak berulang.

“Kami tidak mahu apabila dibaik pulih ia runtuh lagi, oleh itu perbincangan komprehensif dalam kalangan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), geologi dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar,” katanya

 

2 Comments