PKP, Darurat langkah tepat kerajaan elak kes Covid-19 cecah 8000 kes sehari dan ‘Geng Gila Kuasa’!
03:01 Jan 25, 2021  |  By SabahKini2
PKP, Darurat langkah tepat kerajaan elak kes Covid-19 cecah 8000 kes sehari dan ‘Geng Gila Kuasa’!

Sehingga ke saat ini 'Geng Gila Kuasa' mahu terus PRU dan batalkan Darurat. Kes harian cecah 4,275 kes! Negara bukan saja perlukan PKP tetapi Darurat untuk langkah menyeluruh elak 8000 kes sehari.

Pengisytiharan darurat diperkenan Yang di-Pertuan Agong 12 Januari lalu hingga 1 Ogos merupakan jalan terbaik mengekang pandemik COVID-19 yang sangat kritikal serta memberi tumpuan penuh kepada pemulihan ekonomi.

Disatu sesi ahli politik Malaysia ghairah berebut kuasa menjadi PM dalam masa sama krisis kesihatan ini menjejaskan rakyat. Anwar Ibrahim dan para MP yang tersekat merebut takhta mempersoalkan langkah darurat. Kononnya negara luar tiada Darurat. Malah dulu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mereka benci juga kini dipuji langkah terbaik berbanding Darurat.

Pada 25 Oktober 2020 ketika Yang di-Pertuan Agong menolak pengisytiharan darurat syor PM atas alasan tiada keperluan untuk melaksanakannya ketika itu bersoraklah 'Geng Gila Kuasa' memuji Agong. Namun selepas Agong memperkenan Darurat pada 12 Januari lalu  mereka bertukar kulit pula dan berbondong-bondong menghantar surat merayu memohon membatalkan darurat. Begitulah jika sesuatu tidak mencapai hajat.

Ada pula bekas Ketua Menteri Sabah nama Shafie Apdal ketika PM dapat perkenan Agong untuk Darurat dia protes tetapi ketika dia bubarkan DUN Sabah sesuka hati dia bukan main lagi dia berkata 'sanggup berani mati'. Wal hal dialah punca kes Covid-19 merebak sekarang.

Hakikatnya banyak negara melaksana darurat. Badan antarabangsa The Centre for Civil and Political Right' (CCPR-Centre) melaporkan terdapat 79 negara mengisytihar darurat sebagai tindak balas menangani pandemik COVID-19. Ini termasuk Australia, Indonesia, Finland, Brazil, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Libya, Filipina, Thailand, Argentina dan Jordan.

Ketika darurat diisytiharkan, Malaysia mencatatkan kes positif Covid-19 3,309 kes harian tetapi pemimpin politik dan rakyat nampaknya tidak takut kepada angka kes meningkat setiap hari dan mungkin mencecah 5000 kes sehari selepas ini. Sesetengah rakyat 'terhasut' beranggapan angka kes itu direka-reka oleh pemerintah bagi menakutkan rakyat sedangkan dalam masa sama bukti di depan mata Menteri dan Ahli Parlimen juga tidak terkecuali dijangkiti Covid-19.

Mengapa Darurat bukankah Akta 342  (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai kuasa mengawal COVID-19?

Menggunakan Akta 342, ketika gelombang pertama dan kedua Malaysia berjaya melandaikan kes sehingga 1 angka kes sehari pada bulan julai malah pernah mencatatkan 1 kes sahaja (kes import). Ia rekod terendah ketika itu.

Bagaimanapun memasuki bulan September ketika Pilihanraya Negeri Sabah dilaksanakan kes kembali melonjak 3 angka sebelum mencatatkan kes 4 angka bermula 24 Oktober 2020 dengan 1228 kes.


Selepas PRN Sabah- Daripada beratus kes harian mencecah lebih 1000 kes dengan Sabah tertinggi 

Pada 24 November 2020 Malaysia kali pertama mencatatkan  kes melebihi 2000 kes iaitu 2188 kes. Selepas daripada itu kes harian terus meningkat sehingga kali pertama mencecah 3309 pada 12 Januari. Sedar bahayanya Covid-19 yang terus meningkat pada 11 Januari lalu kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan, enam negeri dilaksanakan PKP Bersyararat (PKPB) dan dua negeri menjalani PKP Pemulihan (PKPP).

Akta 342 dan Darurat

Rakyat terjejas teruk. Wabak COVID-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi ekonomi rakyat. Rakyat hilang pendapatan dan pekerjaan. Jika dilaksana 'Total Lockdown' ekonomi akan lumpuh dan rakyat akan lebih derita.  Kerajaan dalam  satu situasi yang luar biasa atau unprecedented situation dan memerlukan langkah yang luar biasa.

Maka seiring dengan Akta 342, maka kerajaan mengisytiharkan Darurat suatu undang-undang yang lebih menyeluruh dan meluas. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih kepada arahan kawalan pergerakan orang ramai, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi dan perkara berkait langkah pencegahan wabak. Darurat mencakupi aspek lebih luas membabitkan perjalanan pentadbiran negara keseluruhannya.

Tujuan utama pengisytiharan darurat, memberi kuasa kepada kerajaan untuk melicinkan pentadbiran negara mengikut keadaan dan sebab pengisytiharan dibuat. Umpamanya pada darurat 2021, tujuan asas adalah mengawal COVID-19 agar dapat dibendung dan tidak terus menjejaskan kehidupan ekonomi rakyat negara ini.

Ordinan Darurat terpakai dan kerajaan boleh menggubal ordinan tanpa perlu melalui proses pembuatan undang-undang biasa bagi mengawal sesuatu keadaan. Contohnya, kerajaan boleh mengambilmilikan sementara sesuatu tanah, bangunan dan/atau harta alih serta memberi apa-apa arahan berkaitan.

Dengan pemakaian Ordinan Darurat, semua tindakan dapat dilaksanakan segera tanpa perlu melalui proses biasa mengambil masa panjang.

Ia juga memastikan penguatkuasaan berkesan dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah melanggar undang-undang berkaitan COVID-19.

Ringkasnya pelbagai perkara dan tindakan boleh dilakukan oleh kerajaan ketika darurat.

‘Penyakit Politik’

Negara perlukan kestabilan dalam mengurus Covid-19. Setidaknya tekanan daripada Ahli Parlimen yang mahukan pilihan raya segera dapat dibendung. Jadi dengan adanya darurat, ia tidak boleh dilaksanakan, secara tidak langsung tidak timbul soal pertukaran kerajaan kerana fokus paling utama adalah menangani COVID-19.

Belajar daripada kesan buruk PRN Sabah mengadakan pilihan raya ketika wabak COVID-19 memuncak hanya akan memudaratkan rakyat. Apakah ia pilihan baik dan bersesuaian? Tanyalah kepada rakyat, adakah ini mereka mahukan?

Hanya yang gila kuasa mahukan Pilihanraya!

Kes Tertinggi Januari – 4,275 kes baharu

Pada 23 Januari 2021 Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan rekod kes harian tertinggi iaitu 4,275 kes sekalipun pada hari yang sama merekodkan kes sembuh tertinggi iaitu 4,313 dalam tempoh 24 jam. Setidaknya kes sembuh tertinggi menunjukkan sistem kesihatan kita menyembuhkan pesakit Covid-19 terbaik! Kadar kesembuhan 77 peratus dan kadar kematian hanya 0.4 peratus. Pada 24 januari kita sekali lagi merekodkan kes sembuh tertinggi iaitu 4,427.

 

 

Peningkatan Kes Kluster 'Kilang' atau Tempat Kerja 

KKM memandang serius perkembangan peningkatan kes COVID-19 serta kluster-kluster berkaitan tempat kerja yang dilihat mutakhir ini. Ini kemungkinan berkait rapat dengan peningkatan ujian yang dilakukan secara bertumpu bagi mengesan lebih banyak kes dengan secepat mungkin, dan seterusnya mengawal penularan COVID-19. Sejak 1 Disember 2020, kerajaan telah melaksanakan ujian saringan COVID-19 kepada semua pekerja asing di negara ini.

Pada peringkat awal, program ini tertumpu di beberapa buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sehingga 22 Januari 2021, sejumlah 350 kluster baharu telah dilaporkan dan sebanyak 225 kluster (64.3 peratus) merupakan kluster berkaitan tempat kerja. Sejumlah 112,225 individu telah disaring, di mana 28,477 kes (25.4 peratus) telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster-kluster ini. Daripada kluster-kluster berkaitan tempat kerja yang dilaporkan, kluster berkaitan perkilangan mencatatkan bilangan kluster yang tertinggi iaitu sebanyak 80 kluster (35.6 peratus), diikuti oleh kluster berkaitan pembinaan sebanyak 53 kluster (23.6 peratus) dan kluster berkaitan perkhidmatan sebanyak 31 kluster (13.8 peratus).

Sejak kluster Teratai atau top glove November lalu mendadak naik melebihi 1000 kes sehari menyebabkan kes Negeri Selangor antara yang tertinggi mengatasi negeri Sabah. Trend kluster ‘kilang’ ini terus menular sehingga mencecah 3000 kes sehari. Mengapa agaknya kluster ini merebak cepat? Jawapannya tiada satupun kilang mahu tutup operasi kerana ia menyebabkan kerugian. Terdapat kes kilang menyembunyikan kes COVID-19 malah membeli saringan palsu asalkan mereka terus beroperasi.

[ARTIKEL BERKAITAN- Majikan bayar rasuah sembunyi status pekerja positif Covid-19 punca kluster ‘kilang’ merebak? ]

[ARTIKEL BERKAITAN- COVID-19: Mengapa Kluster 'Kilang' merebak cepat?

 

Sehingga ke hari ini Kluster teratai atau kilang Top Glove telah merekodkan 7,083 kes. Kes-kes tempat kerja lain pula terus meningkat. Kes tertinggi pada 23 Januari disumbangkan daripada kluster kilang atau tempat kerja.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt 

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 22 Januari 2021 untuk seluruh negara adalah 1.09.

Statistik kes baharu COVID-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2. Perkara ini diingatkan sendiri oleh Tan Sri Dr Noorhisham DG KKM dalam taklimat hariannya pada 7 Januari lalu. 

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikekalkan dengan RO dicatat pada kadar 1.1, unjuran kebolehjangkitan COVID-19 mencecah 8,000 kes sehari dapat diperlahankan sehingga minggu kedua Mei.

Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes harian menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak pada Mac jika RO kekal pada tahap 1.2.

Adalah sangat penting RO diturunkan kepada nilai atau kurang daripada 0.5 untuk mengawal jangkitan sepenuhnya. Kita yakin PKP kali ini dan langkah Darurat mampu menangani keadaan akan lebih buruk berlaku. 

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC - MAEPS 2.0)

Kerajaan serius menghadapi Covid-19 sehingga mengaktifkan semula PKRC MAEPS 2.0 yang mampu menampung kapasiti sehingga 10,000 pesakit. 

Ketika Perdana Menteri melawat PKRC MAEPS 2.0 19 Januari lalu,  Tan Sri Muhyiddin menyifatkan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dibangunkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dalam tempoh tiga hari sebagai satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa.

Perdana Menteri berkata, sebanyak tujuh dewan digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan.

Menurut beliau, fasiliti itu juga sedang dinaik taraf secara berfasa untuk dijadikan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

Setelah dinaik taraf, katanya, fasiliti itu boleh merawat 30 pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan juga mampu merawat 10 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen sehinggalah ke bantuan pernafasan.

Menzahirkan rasa bangga dengan usaha barisan hadapan daripada pelbagai agensi bagi membangunkan fasiliti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia adalah langkah bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

"Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit," katanya

PM diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ke sesi taklimat tertutup pengoperasian oleh Pengarah Kesihatan Selangor merangkap Komander Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Wilayah Tengah Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Vaksin- Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 

Kita akan terus hidup dengan Covid-19 jika rakyat belum menerima vaskin.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kerajaan akan segera untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19. Vaksin Covid-19 fasa pertama akan mula diagih dan disuntik kepada kira-kira satu juta rakyat negara ini bermula bulan depan.

Fasa pertama akan diberikan kepada barisan hadapan negara dahulu.Ia diikuti golongan rentan (mudah mendapat penyakit) dan pesakit kronik termasuk buah pinggang, sakit jantung, paru-paru dan diabetes.

"Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 negara akan bermula bulan depan dengan sejuta vaksin dari Pfizer-BioTecNTech akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama.

 

"Ia kemudian diikuti fasa seterusnya sebanyak 6.2 juta vaksin pada April dan Mei. Kerajaan akan beri vaksin secara percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini. PM juga mengumumkan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, vaksin itu juga akan diberi secara percuma kepada rakyat melalui tiga fasa imunisasi dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang akan bermula bulan depan juga dijangka akan membantu negara untuk pulih seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.

Oleh itu PKP dan Darurat amat penting memutuskan segera rantaian. JIka negara boleh melandaikan kes sehingga 1 kes saja pada bulan julai pastinya gelombang ketiga Covid-19 ini negara boleh mengatasinya.

8 Comments