[VIDEO] Segera laksana PdPR guna modul bercetak untuk murid tiada peranti- Masidi
15:01 Jan 27, 2021  |  By SabahKini2
[VIDEO] Segera laksana PdPR guna modul bercetak untuk murid tiada peranti- Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata langkah itu bagi memastikan tiada murid dan pelajar di negeri ini yang tercicir sepanjang pelaksanaan PdPR.

SIDANG MEDIA PERKEMBANGAN SEMASA COVID-19 NEGERI SABAH
YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Dan Menteri Kewangan II

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menasihatkan Jabatan Pendidikan negeri supaya segera melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan modul bercetak untuk murid dan pelajar yang tiada peranti serta liputan internet.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata langkah itu bagi memastikan tiada murid dan pelajar di negeri ini yang tercicir sepanjang pelaksanaan PdPR.

"Sebagai langkah segera, kerajaan negeri menasihatkan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah melaksanakan pembelajaran seperti yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

"PdPR bagi pelajar yang tidak mempunyai liputan internet dan tidak mempunyai peranti hendaklah diteruskan dengan nota pembelajaran dicetak dan disampaikan kepada pelajar," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan akan membuat penilaian mengenai jumlah murid dan pelajar yang layak diberikan peranti bagi membantu mereka mengikuti PdPR secara dalam talian.

Bagaimanapun, katanya keberkesanan bantuan itu juga tertakluk kepada capaian internet di kawasan murid dan pelajar, memandangkan masih banyak lokasi di negeri ini tidak menerima liputan internet yang baik.

"Dalam mesyuarat Kabinet negeri hari ini, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengarahkan Pembantu Menteri Datuk Mohd Ariffin Arif untuk berhubung segera dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi menentukan jumlah murid dan pelajar yang layak diberikan bantuan peranti," katanya.

Hajiji sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk menimbangkan bantuan peranti kepada murid dan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Sabah supaya mereka dapat mengikuti PdPR secara dalam talian.

Mengulas mengenai bantuan peranti disalurkan Ustaz Ebit Lew, iaitu antara paling awal tampil membantu ibu bapa di negeri ini, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata, kerajaan negeri berterima kasih dan mengalu-alukan bantuan sesiapa sahaja.

"Bagi saya tidak timbul soal siapa menghantar dulu bantuan kerana masing-masing ada asas sendiri dalam melaksanakan program bantuan kepada rakyat.

"Kita sedia maklum, bantuan kerajaan perlu melalui proses tertentu untuk mendapatkan kewangan sedangkan bagi individu atau syarikat mereka boleh pada bila-bila masa melakukannya kerana duit yang digunakan milik mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan tidak mengeluarkan arahan supaya ibu bapa di negeri ini diwajibkan membawa anak menjalani saringan sebelum sesi persekolahan bermula.

Katanya, kerajaan negeri memahami kekangan dihadapi ramai ibu bapa untuk menanggung kos saringan COVID-19 anak-anak, selain mengambil kira kapasiti saringan yang mampu ditampung Jabatan Kesihatan.

"Kita cuma menasihatkan ibu bapa yang mampu supaya mengambil inisiatif membawa anak mereka membuat saringan, bukan diwajibkan," katanya mengulas program saringan yang membabitkan pelajar di negeri ini.

Katanya, setakat ini hanya pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang memasuki asrama diminta menjalani saringan COVID-19 seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, katanya ibu bapa dan penjaga disarankan supaya sentiasa membuat pengawasan terhadap simptom ke atas anak-anak mereka dan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan segera di klinik jika bergejala.

3 Comments