Tutup kilang jika langgar SOP kata Ismail Sabri
09:01 Jan 29, 2021  |  By SabahKini2
Tutup kilang jika langgar SOP kata Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata diakui kilang turut menyumbang kepada kluster tempat kerja dan kerajaan tegas berkaitan isu ini.

Kuala Lumpur: Kerajaan memandang serius peningkatan kluster kes tempat kerja terutama di kilang dan tindakan menutup premis akan diambil jika majikan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata diakui kilang turut menyumbang kepada kluster tempat kerja dan kerajaan tegas berkaitan isu ini.

Menurutnya, pekerja kilang terutama warga asing diwajibkan membuat ujian swab Covid-19 malah jika gagal berbuat demikian mereka boleh diambil tindakan.

"Kita cuba pastikan akan kurangkan isu berkaitan pekerja kilang ini melalui saringan ujian swab wajib yang perlu dilakukan mereka.

"Jika berlaku kes positif Covid-19, kilang itu akan ditutup dan setakat ini saya dimaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah menutup sembilan kilang kerana gagal patuhi SOP termasuk ada jangkitan Covid-19," katanya pada sidang media MKN.

Ismail Sabri berkata, 16 lagi premis bukan kilang turut ditutup MITI setakat ini.

"MITI serius untuk segi memastikan tiada jangkitan Covid-19 di kilang dan itu tindakan dilakukan kerajaan bagi menjamin sektor perkilangan tidak menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19," katanya.

Mengulas mengenai kebenaran pasangan jarak jauh merentas negeri, beliau berkata, kebenaran itu atas dasar perikemanusiaan kepada pasangan jarak jauh untuk bertemu keluarga mereka.

"Jika sebelum ini anak tidak sihat pasangan ini tidak dapat pulang dan akhirnya mereka terpisah lama.

"Namun walaupun dibenarkan mereka tetap perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis dan memberi bukti pasangan jarak jauh," katanya.

 

[ARTIKEL BERKAITAN- COVID-19: Mengapa Kluster 'Kilang' merebak cepat? ]

3 Comments