Penduduk Sabah, Labuan Gempar dengar bunyi letupan, gegaran
08:01 Jan 31, 2021  |  By SabahKini2
Penduduk Sabah, Labuan Gempar dengar bunyi letupan, gegaran

Kejadian itu berlaku sekejap, mulanya bunyi dentuman selepas itu bergegar sehingga menyebabkan penduduk di sini panik.

BUNYI seakan letupan dan gegaran selama beberapa saat kira-kira jam 11 pagi menggemparkan penduduk sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan di Sabah pada Ahad.
 
Bunyi letupan kuat seperti guruh yang turut disusuli gegaran itu dikatakan dapat dirasai selama lima ke sepuluh saat.
 
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata pihaknya masih menyiasat dari mana datangnya letupan tersebut.
 
“Saya sudah berhubung dengan Ketua Polis Daerah Sipitang dan beliau mendakwa terdengar bunyi letupan kuat dari arah Lawas, Sarawak.
"Saya juga berhubung dengan polis Labuan tetapi bom lama yang ditemukan sebelum ini juga sudah dimusnahkan,” katanya
 
Jelasnya, setakat ini pihaknya belum menerima laporan atau aduan daripada mana-mana pihak yang menyatakan lokasi letupan terbabit.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya juga kini sedang giat mencari punca bunyi letupan tersebut.
“Saya juga dengar bunyi seperti guruh dari arah Labuan. Kita sedang mencari kemungkinan berpunca dari 'pipe line' gas ke Miri tetapi perkara ini belum disahkan,” ujarnya.
 
Terdahulu, Ketua Zon Bomba Beaufort, Anddre Andrew berkata, Balai Bomba dan Penyelamat di bawah zon Beaufort tidak menerima sebarang panggilan operasi.
“Setakat ini tidak pasti punca daripada apa.
 
“Pihak bomba pun tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan bunyi itu namun hanya panggilan daripada orang ramai diterima untuk bertanya punca bunyi itu,” katanya.
 
Letupan dan gegaran itu menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk malah di media sosial, ramai yang berkongsikan peristiwa berkenaan dan tertanya-tanya dari mana datangnya bunyi tersebut.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyatakan bunyi letupan yang berlaku tiada kaitan dengan Latihan Perang Borneo.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam TLDM, Latihan Perang Borneo hanya dilakukan pada 28 Jan lalu.

 
7 Comments