Rakyat mahu kestabilan politik, ekonomi bukan perebutan kuasa
07:02 Feb 01, 2021  |  By SabahKini2
Rakyat mahu kestabilan politik, ekonomi bukan perebutan kuasa

Proklamasi Darurat oleh Yang Di-Pertuan (YDP) Agong pada 13 Januari lalu sehingga 1 Ogos 2021 merupakan jalan paling baik dalam membantu negara menjalani pemulihan kesihatan dan ekonomi.

Sejak hampir setahun yang lalu, Malaysia telah di landa pandemik Covid-19, sebagaimana majoriti negara-negara di seluruh dunia. Virus Covid-19 ini telah menjangkiti ribuan orang, dan menyebabkan ratusan orang meninggal dunia. Tambahan lagi, pandemik Covid-19 ini telah memberi kesan yang mendalam dan meluas kepada ekonomi Malaysia, dan seterusnya menjejaskan kehidupan seharian serta pendapatan rakyat Malaysia.

Pandemik Covid-19 ini telah merencatkan agenda pembangunan negara. Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia telah terjejas dengan teruknya. Tahun 2020 mencatatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terburuk sejak Krisis Kewangan Asia 1997. Di dalam tempoh pandemik ini, banyak syarikat, samada besar mahupun SME, terpaksa mengurangkan dan juga menutup terus operasi mereka.

Akibatnya, jumlah pengganguran di Malaysia telah meningkat secara mendadak. Ratusan ribu telah hilang pekerjaan sejak setahun yang lalu. Statistik menunjukkan bahawa kadar pengganguran Malaysia terkini adalah yang terburuk dalam tempoh 25 tahun. Setakat ini, kerajaan Malaysia sedikit sebanyak dapat menangani isu pengganguran ini dengan pelbagai inisiatif yang disediakan untuk syarikat serta rakyat.

Isu pengganguran ini menjadi semakin meruncing dengan ratusan ribu yang memasuki alam pekerjaan setiap tahun. Kerajaan Malaysia perlu memperhalusi isu pengganguran dengan memberi tumpuan khusus kepada kadar pengganguran belia (umur 15 – 24 tahun) yang kekal tinggi. Di antara tahun 2015 - 2019, kadar pengganguran belia senantiasa berada di atas paras 11%. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga mestilah memberi perhatian kepada isu under-employment, di mana seseorang melaksanakan pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan serta pengalaman yang dimiliki.

Justeru itu, Kerajaan Malaysia perlu menyediakan dan melaksanakan perancangan yang menyeluruh serta terperinci untuk agenda pembangunan negara, bagi mengatasi kesan pandemik Covid-19. Mengikut laporan World Competitiveness Ranking 2020 oleh Institute for Management Development (IMD), Malaysia kekal sebagai salah satu ekonomi yang kompetitif di dunia, dengan kedudukan di dalam kelompok 30 teratas di dunia. Ini bermakna Malaysia masih memiliki asas ekonomi yang kukuh dan menarik, walaupun di landa pandemik Covid-19.

Untuk menjana kembali ekonomi negara, Kerajaan Malaysia mempunyai beberapa pilihan, termasuklah membuat perbelanjaan awam (government expenditure), menggalakkan pelaburan domestik serta pelaburan asing (FDI). Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan peruntukkan sejumlah RM 322.5 billion untuk Bajet 2021, iaitu bajet terbesar di dalam sejarah Malaysia.

Di bawah Bajet 2021, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM 69 billion untuk perbelanjaan pembangunan (development expenditure). Antara penerima terbesar untuk perbelanjaan pembangunan ini ialah sektor pengangkutan, yang menerima sebanyak RM 15 billion, iaitu 21.7% dari jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan. Antara projek-projek utama infrastruktur pengangkutan ialah - Lebuh Raya Pan Borneo, MRT3 Lembah Kelang, Landasan Berkembar Lembah Kelang, Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru. Tidak di nafikan bahawa projek mega sebegini dapat menjana ekonomi dengan kesan pengganda (multiplier effect) yang besar serta memberi pekerjaan kepada rakyat. Namun begitu, wajar Kerajaan Malaysia untuk meneliti kembali projek-projek seperti ini, serta menangguhkan pelaksanaan projek yang tiada keperluan terdesak. Seterusnya, peruntukkan berkenaan dapat di salurkan untuk memberi bantuan terus kepada syarikat dan rakyat. Keutamaan ialah meletakkan wang di poket rakyat agar rakyat dapat meletakkan makanan di meja. Hungry people are angry people!

Di samping itu, Kerajaan Malaysia mesti menggalakkan pelaburan swasta di dalam ekonomi negara, iaitu – domestik (DDI) dan asing (FDI). Pelaburan swasta amat penting untuk menjana ekonomi negara kerana majoriti pekerjaan di sediakan melalui pelaburan swasta. Pelaburan asing (FDI) telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, serta merubah landskap ekonomi dari pertanian ke industri. Walaupun laporan World Competitiveness Ranking 2020 oleh Institute for Management Development (IMD) menyatakan Malaysia kekal sebagai salah satu ekonomi yang kompetitif di dunia, statistik pelaburan asing (FDI) di Malaysia telah menunjukkan trend menurun sejak 2016: RM 47b (2016), RM 40.4b (2017), RM 30.7b (2018), RM 31.7b (2019). Berbanding dengan negara-negara Asen juga telah menurun.

Mengikut United Nations Conference on Trade & Development, Malaysia hanya menerima 5% (RM 31.3 billion) daripada pelaburan asing (FDI) yang diterima oleh rantau ASEAN pada tahun 2019. Lebih 80% FDI telah menjurus ke tiga negara – Indonesia, Singapura dan Vietnam. Oleh yang demikian, untuk menangani isu pengurangan pelaburan asing (FDI) ini, Kerajaan Malaysia perlu memberi tumpuan untuk menggalakkan pelaburan domestik (DDI).

Najib dalam facebooknya mendedahkan tahun 2020 pelaburan asing kepada Indonesia adalah 7.2 kali ganda lebih besar berbanding pelaburan asing ke Malaysia.

Tahun 2020 lepas, pelaburan asing ke Malaysia adalah paling rendah berbanding negara-negara jiran. Tahun 2017 Malaysia antara paling tinggi, tahun 2020 kita paling rendah

May be an image of food and text that says 'US$ bilion 20.0 18.0 16.0 14.0 12.0 Pelaburan Asing (FDI) tahun 2020 10.0 8.0 6.0 4.0 20 0.0 Indonesia Vietnam US$ bilion 20 Filipina Thailand (setelah ποl ira beli esco Thailend dor K) Malaysia 14 12 Pelaburan Asing (FDI) tahun 2017 8 2 Indonesia Vietnam Thailand Filipina Malaysia'
 

Kejayaan Malaysia untuk mengharungi pandemik Covid-19 bergantung kepada pelaksanaan agenda pembangunan yang di terajui oleh pelaburan swasta yang dapat menyediakan pekerjaan kepada rakyat. Secara amnya, para pelabur, samada domestik mahupun asing, melihatkan kepada kestabilan politik untuk membuat keputusan pelaburan mereka. Pelabur mengkehendaki Kerajaan Malaysia yang kukuh dan stabil agar agenda ekonomi dan polisi pelaburan adalah jelas serta konsisten tanpa flip-flop.

Namun begitu, kestabilan politik yang telah menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara tidak lagi dirasai oleh pelabur, dan juga rakyat. Sejak 2018, Kerajaan Malaysia telah bertukar tangan sebanyak dua kali. Beberapa buah negeri turut mengalami perubahan kepimpinan. Negeri Johor telah mempunyai 3 orang Menteri Besar dalam tempoh berkenaan! Walaupun pertukaran kerajaan telah berlaku, kestabilan politik masih tidak tercapai. Malah perebutan kuasa masih berterusan dengan percaturan politik oleh ahli-ahli politik yang di lihat mendahulukan kepentingan politik daripada kesejahteraan rakyat. Kestabilan politik semakin meruncing apabila Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan sekarang di laporkan sudah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Untuk meraih kejayaan mengharungi pandemik Covid-19, tugas Kerajaan Malaysia adalah jelas, iaitu – meningkatkan perbelanjaan awam serta menggalakkan pelaburan swasta. Apa jua agenda pembangunan yang di rancang oleh Kerajaan Malaysia tidak dapat mencapai kejayaan yang di impikan sekiranya kestabilan politik tidak di pulihkan segera dan di terjemahkan kepada pelabur serta rakyat. Semua pemegang taruh (stakeholders), terutamanya ahli-ahli Parlimen, mestilah menghentikan mainan politik dan bekerjasama untuk meraih kepercayaan pelabur dan rakyat. Kesejahteraan rakyat di dahulukan!

Proklamasi Darurat oleh Yang Di-Pertuan (YDP) Agong pada 13 Januari lalu sehingga 1 Ogos 2021 merupakan jalan paling baik dalam membantu negara menjalani pemulihan kesihatan dan ekonomi. Berdasarkan situasi semasa, Malaysia bakal menghadapi 4000 hingga 8000 kes sehari. Oleh itu semua pihak fokus kepada usaha menangani pandemik Covid-19. Jika Covid-19 reda dan PRU boleh dilaksanakan ogos atau hujung tahu maka ketika mari kita rakyat Malaysia memilih kerajaan yang benar-benar kuat.

 

Dr Azry A
Kuala Lumpur

[artikel pembaca melalui emel]

7 Comments