Sabah Agih Bantuan RM19.7 Juta Untuk Badan Agama, Sekolah Cina
16:02 Feb 01, 2021  |  By SabahKini2
Sabah Agih Bantuan RM19.7 Juta Untuk Badan Agama, Sekolah Cina

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata daripada jumlah itu, RM13.5 juta diberikan bagi pembangunan sekolah membabitkan tujuh sekolah menengah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah menengah persendirian Cina, 83 SJK Cina dan 142 tadika

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menyerahkan bantuan kewangan RM19.7 juta kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah Cina di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata daripada jumlah itu, RM13.5 juta diberikan bagi pembangunan sekolah membabitkan tujuh sekolah menengah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah menengah persendirian Cina, 83 sekolah jenis kebangsaan Cina dan 142 tadika.

Bagi tujuan pembangunan dan pembaikan tokong pula katanya, sejumlah RM5.29 juta diluluskan membabitkan 145 tokong di seluruh negeri, selain turut diluluskan peruntukan RM1 juta kepada beberapa persatuan Tiong Hua di Sabah, bagi menjalankan aktiviti sempena Tahun Baharu Cina.

“Bantuan kewangan ini jelas menunjukkan kerajaan GRS sentiasa prihatin dan mengutamakan keadilan dalam semua aspek, termasuk memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam;  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah Tan Sri David Chu.

Hajiji berkata, sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan Negeri bagi Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan, untuk meneliti permohonan diterima daripada pelbagai badan keagamaan dan sekolah bukan Islam seluruh Sabah.

Beliau juga berharap bantuan kewangan itu, dapat meringankan beban pihak berkaitan dalam membangunkan dan membaiki sekolah serta rumah ibadat yang terbabit, sekali gus memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi. – BERNAMA

3 Comments