Nizam beri sumbangan lebih 50 unit komputer riba di DUN Apas
17:02 Feb 01, 2021  |  By SabahKini2
Nizam beri sumbangan lebih 50 unit komputer riba di DUN Apas

Menurut Nizam sumbangan itu merupakan inisiatif pihaknya dalam membantu penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar sekolah mendapat akses pembelajaran secara dalam talian.

TAWAU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sudah menyampaikan sumbangan lebih 50 unit komputer riba kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif pihaknya dalam membantu penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar sekolah mendapat akses pembelajaran secara dalam talian.

"Kami banyak menerima rungutan dan permohonan daripada keluarga tersebut khususnya di DUN Apas berkaitan kesukaran mereka untuk menyediakan komputer riba kepada anak-anak mereka.

"Sebagai wakil rakyat, tindakan segera perlu diambil dan melalui peruntukan ADUN, wang peribadi serta sumbangan rakan-rakan, kami sudah memberikan lebih 50 komputer riba kepada mereka yang layak,"katanya semasa ditemui di pejabatnya, di sini.

Menurutnya, masalah ini bukan sahaja berlaku di DUN Apas, malah berlaku di semua tempat dan perkara ini juga sudah sampai ke peringkat pucuk pimpinan khususnya kerajaan negeri.

"Saya difahamkan, ianya juga dalam penelitian kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian termasuk mempertimbangkan untuk menyediakan gajet kepada keluarga tidak berkemampuan.

"Selain itu, semasa pembentang bajet kerajaan oleh Menteri Kewangan Malaysia turut ada menyebut untuk memberikan bantuan gajet kepada pelajar yang memerlukan,"katanya

Dalam pada itu, beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah turut merasai kesukaran pelajar yang berada di kawasan-kawasan tidak mendapat litupan internet yang baik terutamanya di DUN Apas.

"Kawasan seperti Kuala Balung, Inderasabah, Wakuba, Kuala Apas, Apas Parit, Membalua, Batu Payung, Tinagat dan Batu 6 Jalan apas masih bergelut dengan masalah internet sehingga menyukar pelajar mengikuti pembelajaran atas talian.

"Hal ini disebabkan kawasan-kawasan itu terlindung oleh permukaan muka bumi yang tinggi sehingga tidak mendapat signal daripada menara komunikasi yang ada,"katanya.

Nizam berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dapat memberi fokus serta prioriti terutamanya di kawasan DUN Apas yang sudah lama mengalami masalah ini.

"Saya sangat menyokong pengumuman Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempercepatkan program JENDELA yang dilancarkan tahun lalu.

"Saya berharap program JENDELA dapat menyelesaikan masalah pelajar di kawasan DUN Apas yang terpaksa menggunakan medium pembelajaran norma baharu atas talian pada masa ini,"katanya.-UB

4 Comments