Bung mahu Azam Jaya percepat kerja naik taraf Jalan Sulaman-Indah Permai
13:02 Feb 07, 2021  |  By SabahKini2
Bung mahu Azam Jaya percepat kerja naik taraf Jalan Sulaman-Indah Permai

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata dari sasaran Jabatan Kerja Raya (JKR) agar projek tersebut 60 peratus boleh disiapkan namun ketika ini pihak kontraktor hanya dapat melaksanakannya sekitar 55 peratus.

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap kontraktor pelaksana projek naik taraf jalanraya antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke simpang Indah Permai dapat mempercepatkan kerja-kerja pembinaan bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalanraya yang  sekian lama berhadapan dengan kesesakan jalanraya  terutamanya di waktu puncak.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata dari sasaran Jabatan Kerja Raya (JKR) agar projek tersebut 60 peratus boleh disiapkan namun ketika ini pihak kontraktor hanya dapat melaksanakannya sekitar 55 peratus.

Projek naik taraf jalan tersebut  dari empat lorong kepada 6 lorong termasuklah pembinaan empat buah jejambat (Flyover) iaitu Jejambat di simpang Kingfishser, UMS, Rampayan dan Indah Permai dibina oleh Syarikat Pembinaan Azam Jaya Sdn Bhd

“Kita faham dalam situasi sekarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk kerja-kerja pengubahsuaian laluan paip antara sebab kelewatan ini, bagaimana pun kita berharap kontraktor terlibat mempercepatkan kerja-kerja pembinaan semasa PKP ini kerana kurang gangguan kenderaan yang melalui kawasan tersebut dan ini akan turut menyelesaikan segara masalah kesesakan jalanraya terutamanya di waktu puncak,” katanya ketika meninjau kerja kerja pembinaan jejambat Rampayan di sini baru baru ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Mohd Jasmin Julpin, Pengarah Jabatan Kerja Raya Ali Ahmad, Pengarah Jabatan Air Edward Lingkapo dan wakil dari syarikat Azam Jaya.

Mengulas isu gangguan air di beberapa buah kampung di kawasan Sepanggar Bung berkata antara faktor menyebabkan gangguan air sering berlaku ialah kes kecurian air di mana terdapat banyak saluran air paip dibuat secara haram menyebabkan tekanan air menjadi rendah dan menjejaskan pengguna terutamanya di kawasan tinggi.

“Saya meminta Jabatan Air bersama agensi lain yang terlibat memantau keadaan ini serta mengambil tindakan proaktif bagi memotong paip-paip air yang disambung secara haram,” katanya.

Menurut Bung kes kecurian air ini bukan sahaja menjejaskan pengguna terutamanya mereka yang memiliki meter air malah mendatangkan kerugian berjuta ringgit kepada kerajaan (Jabatan Air).

Dalam perkembangan sama, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meminta semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan Parlimen Sepanggar agar membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengumpul data penduduk kampung yang memiliki meter air.

Katanya langkah ini bagi mengenal pasti tidak berlakunnya pemasangan paip secara haram dalam kalangan penduduk kampung dan menasihatkan mereka agar memasang meter air masing-masing bagi mengelak sebarang tindakan diambil.

9 Comments