Perintah Berkurung Di ESSZone Dilanjutkan Hingga 1 Mac
15:02 Feb 13, 2021  |  By SabahKini2
Perintah Berkurung Di ESSZone Dilanjutkan Hingga 1 Mac

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

KOTA KINABALU- Perintah Berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan hingga 1 Mac depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, perintah itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZone.

“Maklumat mendedahkan, kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf, masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya.

Hazani berkata arahan itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, perintah itu juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung berkenaan. – BERNAMA

2 Comments