SKMM siasat Sugarbook!
18:02 Feb 14, 2021  |  By SabahKini2
SKMM siasat Sugarbook!

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata siasatan kini menjurus untuk mengenal pasti sama ada aplikasi itu berdaftar di Malaysia atau ia hanya diguna pakai di negara ini, sebelum tindakan lanjut dilakukan.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang menjalankan siasatan ke atas aplikasi Sugarbook yang didakwa mempromosikan gaya hidup tidak bermoral.

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata siasatan kini menjurus untuk mengenal pasti sama ada aplikasi itu berdaftar di Malaysia atau ia hanya diguna pakai di negara ini, sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Katanya, tiada had masa ditetapkan bagi siasatan terbabit, selain pihaknya perlu meneliti aspek pengesanan trafik penggunaan aplikasi itu dan beberapa skop lain secara menyeluruh.

Beliau berkata, siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika mendapati aplikasi terbabit mempromosi aktiviti pelacuran kerana SKMM tidak mempunyai peruntukan dalam perkara sedemikian.

"SKMM tidak boleh bersandarkan kepada dakwaan semata-mata kerana ia berkemungkinan tidak betul," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas peningkatan jumlah mahasiswa di Lembah Klang yang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral, bagi mencari 'sugar daddy'.

Statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook bagi mencari 'sugar daddy', iaitu peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu dipercayai akibat desakan hidup ketika COVID-19.

Baru-baru ini, Malaysia dilapor berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia, selepas India dan Indonesia bagi negara mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.

Mengenai desakan supaya aplikasi itu disekat, beliau berkata, SKMM perlu mempunyai asas kukuh berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebelum sebarang tindakan boleh dibuat.

Beliau berkata, pihaknya perlu mengenal pasti kandungan aplikasi itu yang boleh menyebabkan tindakan diambil, sama ada ia mempromosi aktiviti pelacuran, menghasut atau sebagainya.

"Kita juga perlu meneliti sama ada Sugarbook mematuhi aspek kod kandungan disediakan kepada industri atau aplikasi ini menyentuh kandungan berkaitan 3R (institusi raja, perkauman dan agama).

"SKMM perlu berlaku adil kerana 'dating site' di Malaysia bukan hanya ada Sugarbook. Orang ramai bagaimanapun dinasihat supaya tidak mengakses aplikasi ini jika ia bertentangan dengan fahaman atau amalan masing-masing, sehingga siasatan mengenainya diselesaikan," katanya.

Pada disember 2019 ketika pemerintahan PH, Sugarbook perna kontroversi selepas iklannya dibuat secara terbuka di Kuala Lumpur. 

 
4 Comments