116 kes harian, tiada kes baharu di lapan daerah di Sabah
20:02 Feb 14, 2021  |  By SabahKini2
116 kes harian, tiada kes baharu di lapan daerah di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan 116 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini.

KOTA KINABALU: Lapan daerah di Sabah tidak merekodkan kes baharu positif COVID-19, manakala 14 daerah mencatat pertambahan hanya satu angka, hari ini.

Lima daerah mencatat kes baharu dua angka dengan jumlah tertinggi 19 kes di Kota Kinabalu, diikuti Tawau (17), Keningau (14), Kota Marudu (12) dan Papar (11).

Daerah tanpa kes baharu hari ini ialah Tambunan, Beluran, Kalabakan, Kinabatangan, Sipitang, Kuala Penyu, Tongod dan Beaufort.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan 116 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 15 kes selepas merekodkan 101 kes semalam, yang terendah sepanjang penularan gelombang kedua COVID-19 di negeri ini sejak Oktober lalu.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 51,332 kes. Satu kes kematian turut direkodkan di daerah Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, seramai 220 pesakit COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, manakala jumlah pesakit yang masih dirawat seramai 1,045 orang.

Jumlah itu, katanya mewakili 17.1 peratus penggunaan katil daripada 6,111 unit katil yang disediakan untuk pesakit COVID-19 di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah, ketika ini.

Bagaimanapun, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata satu kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Patikang Ulu di Keningau.

"Kluster itu mencatat dua kes positif hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 37 kes. Kes indeks adalah penduduk Kampung Patikang Ulu yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 5 Februari lalu.

"Hasil saringan kontak rapat, seramai 36 lagi kes positif berjaya dikesan," katanya.

Sementara itu, sebanyak 17 daerah di Sabah masih berada dalam zon merah, manakala enam daerah dalam zon jingga dan dua daerah dalam zon kuning.

1 Comment