Sabah peluang cerah tamat PKP jika terus patuh SOP- Masidi Manjun
23:02 Feb 15, 2021  |  By SabahKini2
Sabah peluang cerah tamat PKP jika terus patuh SOP- Masidi Manjun

Trend menurun tidak bererti PKP tamat lebih awal banyak perkara perlu dilihat. Namun jika terus patuh SOP Sabah berpeluang cerah untuk menjalani satu lagi keadaan di luar PKP

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, jumlah kes harian Covid-19 di Sabah yang telah menunjukkan trend penurunan sejak beberapa hari namun tidak bermakna Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan di negeri berkenaan lebih awal.

Katanya, banyak aspek yang perlu diambil kira termasuk kadar kebolehjangkitan wabak itu di Sabah sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Banyak aspek harus diambil kira, bukan sekadar angka tetapi faktor lain seperti kadar kebolehjangkitan dan kalau saya tidak silap R-naught (kadar kebolehjangkitan) Covid-19 di Sabah ketika ini berada pada paras 0.8.

“Walaupun kita nampak ada trend penstabilan (kes Covid-19), ia bukan gambaran sama ada PKP akan ditamatkan mahupun diteruskan.

“Bagaimanapun saya yakin, sekiranya kita terus patuh kepada SOP (prosedur operasi standard), Sabah berpeluang cerah untuk menjalani satu lagi keadaan di luar PKP,” katanya

Hari ini menyaksikan Daerah Sipitang dan Kudat berubah dari zon merah ke zon jingga. Manakala daerah Beaufort bertukar dari zon jingga ke zon kuning.

Seramai 170 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan discaj dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 49,538 orang. Tiada kluster baharu dilaporkan.

Pelan vaksinasi Covid-19

Bagi program vaksinasi Covid-19 secara serentak di seluruh negara bermula 26 Februari ini Sabah juga tidak terkecuali.

“Ia ia melibatkan beberapa fasa, iaitu yang pertama akan membabitkan petugas-petugas barisan hadapan, fasa kedua membabitkan populasi yang mempunyai komorbiditi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik, manakala fasa

ketiga akan meliputi warganegara lain yang berumur 18 tahun ke atas.

“Program vaksinasi ini juga membabitkan seluruh penduduk di Malaysia termasuk pendatang tanpa izin yang tinggal di Sabah kerana tema program ini ialah ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ dan pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata sebanyak 97 kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah hari ini dan satu kematian turut direkodkan membabitkan pesakit di Keningau.

 

Comment