Kami sudah teruji harungi dugaan Shafie baru saja jadi pembangkang- Mohd Noor
11:01 Jan 18, 2018  |  By SabahKini2
Kami sudah teruji harungi dugaan Shafie baru saja jadi pembangkang- Mohd Noor

Kami dalam Gabungan Sabah lebih lama dalam politik pembangkang berbanding Shafie. Dia tidak patut bercakap tentang tidak mempercayai pimpinan Gabungan Sabah.

KOTA KINABALU: Selepas mengambil alih Parti Warisan dari Fred Gabriel, Dato’ Seri Shafie Apdal mula terlupa keseluruhan perspektif untuk berpakat. Partinya memberikan alasan sebagai alasan menangguhkan kerjasama dengan Gabungan malah memburukkan gabungan parti pembangkang tempatan, kata Pengerusi Gabungan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor.

“Selama lebih setahun kita berharap Warisan akan terjaga dari lena kepada realiti.

“Sebagai bekas naib presiden Umno, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal tentu tahu bukan mudah untuk tewaskan Umno,” katanya.

“Rakyat berharap parti-parti Sabah menggabungkan kekuatan mereka untuk menewaskan Umno, tetapi walaupun kami berusaha sekuat-kuatnya dan bersabar dengan Warisan, Shafie nampaknya telah membuat keputusan.”

Ahli politik veteran itu bersama pembangkang sejak 1985 apabila Parti Berjaya, di mana beliau merupakan setiausaha agung parti itu, tewas kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Kami dalam Gabungan Sabah lebih lama dalam politik pembangkang berbanding Shafie.

“Dia tidak patut bercakap tentang tidak mempercayai pimpinan Gabungan Sabah kerana kami sudah teruji dan berjaya mengharungi dugaan dan kesusahan dalam perjuangan untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan.

“Sebaliknya, Shafie menikmati kemudahan kuasa semasa dalam kerajaan, sehinggalah dia dipecat sebagai menteri kerana menyertai kem Umno yang salah.

“Shafie dan pasukannya baru sekarang cuba belajar berjalan, dari segi politik pembangkang.”

Menurut Mohd Noor, Shafie dan rakan-rakan terdekatnya secara peribadi memujuk beliau untuk menyertai Shafie di kediamannya di Semporna sempena hari mengumumkan pemergiannya daripada Umno.

“Walaupun hari itu malam hari raya, saya pergi ke Semporna untuk menunjukkan sokongan. Kami hanya tiba di rumah kami di pagi raya. Di usia saya sekarang ini, perjalanan itu tidak selesa sama sekali.”

 “Secara terbuka dan berterus-terang, Gabungan Sabah menghulurkan tangan persahabatan kepada Warisan. Tetapi nampaknya Warisan ada agenda tersendiri,” kata Mohd Noor.

Shafie berkata tidak akan menyertai Pakatan Harapan dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir malah menafikan Warisan adalah agen Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagaimana pengakuan Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin sendiri.

Mereka menampilkan diri mereka sebagai parti lokal Semenanjung namun dalam masa sama berkata bersedia bekerjasama dengan Tun dr Mahathir, PKR dan Parti Cinta Sabah untuk menewaskan BN.

Shafie baru-baru ini menyeru rakyat Sabah agar memaafkan Tun Dr Mahathir walaupun bersalah dalam Projek IC Sabah.

Gabungan terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) yang diketuai Datuk Jeffrey Kitingan, Parti Progresif Sabah (SAPP) yang diketuai Datuk Seri Yong Teck Lee, Harapan Rakyat yang diketuai Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang diketuai Datuk Arshad Abdul Mualap.

 

Comment