Tingkat kawalan sempadan cegah pengganas- Arthur Jospeh Kurup
01:02 Feb 18, 2021  |  By SabahKini2
Tingkat kawalan sempadan cegah pengganas- Arthur Jospeh Kurup

Kerajaan akan memberi perhatian serius kepada isu keselamatan sempadan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)...apabila bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi, sudah pasti ia memerlukan persekitaran yang kondusif iaitu selamat dan aman.

KOTA KINABALU- Kawalan keselamatan khususnya di sempadan perlu dipertingkat bagi mengelak sebarang kegiatan keganasan yang memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dalam sebuah portal berita baru-baru ini mengenai kumpulan pengganas yang telah menyelinap masuk ke kawasan pedalaman Sabah amat membimbangkan.

Pengeboman militan JI di Bali boleh berlaku di Sabah?

"Kerajaan akan memberi perhatian serius kepada isu keselamatan sempadan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)...apabila bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi, sudah pasti ia memerlukan persekitaran yang kondusif iaitu selamat dan aman.

"Kemajuan dan perkembangan ekonomi boleh terbantut akibat tindakan keganasan yang akan memusnahkan banyak infrastruktur, memusnahkan iklim pelaburan, menurunkan produktiviti dan meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata ketika negara berdepan cabaran getir dibawa COVID-19 ini,  sebarang usaha kerajaan perlu disokong sepenuhnya untuk meningkatkan ekonomi negara kerana tiada pihak yang akan mendapat keuntungan jika ekonomi negara tidak dapat dipulihkan.

Arthur berkata semua pihak perlu berhenti daripada mempolitikkan isu keselamatan, sebaliknya menyokong usaha kerajaan mengekang ancaman pengganas yang menurutnya hanya satu insiden keganasan boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

"Saya turut memuji tindakan anggota keselamatan terutama polis dan tentera yang bertugas 24 jam bagi memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara kekal terpelihara terutamanya di Sabah ini," katanya.

Sementara itu, beliau juga berharap majikan lebih berhati-hati dan telus dalam pengambilan pekerja dan mengutamakan pekerja tempatan.

 "Majikan tidak seharusnya lebih berminat menggaji pekerja asing dengan alasan tertentu, kerana ini sekali gus akan menafikan hak penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN- Pengeboman militan JI di Bali boleh berlaku di Sabah? ]

 

3 Comments