Malaysiakini didenda RM500,000 hina mahkamah
18:02 Feb 19, 2021  |  By SabahKini2
Malaysiakini didenda RM500,000 hina mahkamah

Seolah-olah mempermudah penerbitan komen-komen netizen dan tidak mengawalnya akhirnya komen-komen bersifat fitnah atau menyerang pihak tertentu telah memakan diri kepada Malaysiakini. RM500 ribu menghina mahkamah.

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu melalui portal Mlaaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Bagaimanapun, mahkamah tidak berpuas hati kes telah dibuktikan melangkaui keraguan yang munasabah terhadap Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan, justeru berpendapat lelaki itu tidak bersalah menghina mahkamah.

Mahkamah memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin.

Keputusan Mkini Dotcom bersalah menghina mahkamah dicapai menerusi majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang, diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf.

Keputusan majoriti dibuat oleh Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Rohana berkata, mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan, justeru memutuskan syarikat tersebut bersalah menghina mahkamah.

Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel yang diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk 'CJ orders all courts to be fully operational from July 1' yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Ketika menyampaikan keputusan hari ini, Rohana memutuskan bahawa mahkamah perlu mengambil kira tanggungjawabnya untuk memandang serius tindakan menghina mahkamah, yang akhirnya akan melemahkan sistem kehakiman di Malaysia.

Tambahnya panel hakim juga telah mempertimbangkan fakta bahawa portal berita itu telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan mahkamah berkaitan  kes tersebut.

"Juga menjadi tanggungjawab masyarakat mengambil serius tindakan menghina mahkamah yang akhirnya melemahkan sistem keadilan di negara ini (Malaysia).

"Kenyataan yang menyinggung (komen berkenaan) telah tersebar luas di dalam dan luar negara, dan kandungannya bersifat palsu dan celaan, serta mengandungi tuduhan rasuah.

"Kami berpendapat bahawa denda RM500,000 adalah wajar.

"Kami memerintahkan denda oleh responden pertama dibayar dalam masa tiga hari mulai Isnin (minggu depan)," kata Rohana.

Pada 17 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan.

Pada 2 Julai tahun lepas, Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, dan Gan gagal membatalkan kebenaran yang diperoleh Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

Malaysiakini telah mengadakan kutipan derma bagi membayar denda itu dan hanya sekitar 4 jam telah berjaya mengumpul RM500,000.

Satu pengajaran besar daripada kes Malaysiakini ini ialah pemilik media mesti mengawal segala komen netizen yang masuk terutamanya yang berbentuk fitnah dan serangan kepada pihak tertentu. 

 

4 Comments