Kerajaan GRS Lulus Peruntukan RM6.5 Juta Naik Taraf Jalan KK-Kudat Bypass
12:02 Feb 23, 2021  |  By SabahKini2
Kerajaan GRS Lulus Peruntukan RM6.5 Juta Naik Taraf Jalan KK-Kudat Bypass

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, langkah segera perlu diambil berikutan laluan terbabit adalah jalan utama yang menghubungkan Kota Marudu, Kudat dan Pitas untuk ke Kota Kinabalu.

KOTA BELUD: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meluluskan peruntukan berjumlah kira-kira RM6.5 juta untuk menaik taraf laluan Kota Kinabalu-Kudat Bypass (Lebak Moyoh-Kampung Sembirai) di sini yang sering dilanda banjir.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, langkah segera perlu diambil berikutan laluan terbabit adalah jalan utama yang menghubungkan Kota Marudu, Kudat dan Pitas untuk ke Kota Kinabalu.

Katanya, tahun ini sahaja laluan itu terjejas akibat bencana banjir sebanyak lima kali.

“Saya dimaklumkan, apabila dilanda banjir pengguna jalan raya terpaksa menunggu seharian sebelum dapat melalui jalan berkenaan.

“Justeru, kita perlu mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya mengumumkan perkara itu selepas mengadakan lawatan ke kawasan laluan berkenaan di sini  hari ini.

Beliau berkata, naik taraf yang akan dijalankan membabitkan kerja meninggikan jalan sepanjang 550 meter bermula dari bulatan Kota Belud hingga jambatan Sungai Gurong-Gurong dan beberapa meter menuju ke laluan kawasan pekan.

Pada masa sama jelasnya, sistem saliran dan pembentungan turut dinaik taraf. Kerja-kerja naik taraf jalan akan dimulakan dalam masa terdekat ini.

Hajiji turut diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Ali Ahmad berhubung keadaan laluan itu yang dilanda banjir sebanyak 33 kali sejak 2019 dan menyebabkan ramai pengguna jalan raya terjejas.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong. 

3 Comments