[VIDEO] Kumpulan pertama 16,380 dos vaksin COVID 19 tiba di Sabah - Masidi
16:02 Feb 25, 2021  |  By SabahKini2
[VIDEO] Kumpulan pertama 16,380 dos vaksin COVID 19 tiba di Sabah - Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata vaksin terbabit dihantar ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV). 42,117 petugas barisan hadapan kesihatan atau bukan kesihatan akan menerima vaksin

Berita Harian

KOTA KINABALU: Sebanyak 16,380 dos kumpulan pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua pada jam 12.38 tengah hari tadi.

Vaksin terbabit diangkut menggunakan pesawat TH314 Raya Airways jenis B767-223 (Cargo Freighter) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor sekitar jam 10 pagi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata vaksin terbabit dihantar ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV)

Katanya, seramai 42,117 petugas barisan hadapan kesihatan atau bukan kesihatan akan menerima vaksin berkenaan dalam fasa pertama Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan ini.

"Secara keseluruhan, Sabah menerima sebanyak 104,130 dos vaksin yang akan dihantar dalam enam sesi penghantaran bermula hari ini," katanya kepada media selepas menyambut ketibaan pesawat yang membawa vaksin berkenaan, hari ini.

Turut serta, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmy Yahya; Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi.

Masidi yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Hajiji, Dr Christina Rundi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali akan menjadi tiga individu awal menerima suntikan vaksin itu.

"Ketiga-tiga mereka akan menerima vaksin pada majlis perasmian Program Vaksinasi COVID -19 Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan pada 4 Mac nanti," katanya.

Beliau berkata, kumpulan kedua vaksin COVID-19 sebanyak 9,360 dos akan diterima pada 4 Mac, kumpulan ketiga sebanyak 24,550 dos pada 11 Mac, kumpulan keempat (3,510 dos pada 8 Mac), kumpulan kelima (18,720 dos pada 25 Mac) dan kumpulan keenam (31,590 dos pada 1 April).-BH

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi rakyat pertama menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech.- bh

Comment