MOT lancarkan Garis Panduan Dron untuk operasi latihan, pertanian dan projek Khas
02:02 Feb 26, 2021  |  By SabahKini2
MOT lancarkan Garis Panduan Dron untuk operasi latihan, pertanian dan projek Khas

MOT melalui agensi pengawalseliaan penerbangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan pelancaran tiga garis panduan (CAD) baharu pesawat tanpa pemandu atau lebih dikenali sebagai dron (UAS) di Malaysia berkuatkuasa 1 Mac 2021

PELANCARAN GARIS PANDUAN (CAD) DRON (UAS) UNTUK OPERASI LATIHAN, PERTANIAN DAN PROJEK KHAS
 
Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui agensi pengawalseliaan penerbangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengumumkan pelancaran tiga garis panduan (CAD) baharu pesawat tanpa pemandu atau lebih dikenali sebagai dron (UAS) di Malaysia yang berkuatkuasa 1 Mac 2021. Ia adalah seperti berikut;
 
1) CAD 6011 Bahagian (I) - Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO);
2) CAD 6011 Bahagian (II) - Operasi Pertanian UAS (AGR); dan
3) CAD 6011 Bahagian (V) - Projek UAS Khas (SUP)
 
 
CAD ini dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM dalam menjalankan kuasa yang diberikan menurut Seksyen 24o Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3]. Fungsi CAAM adalah untuk mengatur keselamatan penerbangan di negara ini termasuk menetapkan standard penguatkuasaan dan memastikan semua perkhidmatan yang dijalankan sesuai dengan undang-undang Malaysia.
 
Penerbitan CAD baru ini adalah untuk menampung peningkatan operasi UAS yang melibatkan pelbagai bidang. Dalam usaha ini, CAAM telah menetapkan standard, keperluan dan prosedur kepada individu dan pengendali di Malaysia untuk bidang pertanian; organisasi latihan; penyelidikan dan pembangunan; operasi secara Beyond Visual Line of Sight (BVLOS), dan operasi-operasi lain yang berkaitan.
 
CAD 6011 Bahagian (I) - Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO)
 
 
CAD ini menetapkan keperluan, proses pentadbiran, arahan, dan panduan yang berkaitan dengan operasi RPTO di Malaysia. Bertujuan membantu sesebuah organisasi dalam memastikan mereka dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan CAAM dan menjelaskan pengaturan, petunjuk dan perihal undang-undang yang berkaitan serta memberikan panduan kepada organisasi untuk memastikan kepatuhan yang berterusan. CAD ini digunapakai untuk semua RPTO yang ingin menjadi Organisasi Latihan yang diluluskan oleh CAAM.
 
CAD 6011 Bahagian (II) - Operasi Pertanian UAS (AGR)
 
 
CAD ini mengandungi standard, keperluan dan prosedur terhadap individu dan pengendali di Malaysia untuk memohon kelulusan operasi pertanian menggunakan UAS bagi tujuan komersial dan swasta. Perlu memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan termasuk dari segi kelayakan udara (airworthiness) dan / atau standard operasi, sebelum UAS pertanian tersebut dibenarkan beroperasi di Malaysia. Skop operasi UAS pertanian merangkumi penjagaan tanaman dan aktiviti-aktiviti selain kawalan keselamatan. Operasi ini meliputi pengeluaran muatan pertanian atau racun makhluk perosak yang bertujuan untuk penjagaan tanaman, rawatan tanah atau sebarang kegiatan yang secara langsung mempengaruhi pertanian, hortikultur atau pemeliharaan hutan, tanpa menjejaskan hidupan-hidupan lain.
 
CAD 6011 Bahagian (V) - Projek UAS Khas (SUP)
 
CAD ini bertujuan untuk memudahkan pelabur, pembuat dan pengendali dron tempatan (entiti kerajaan dan swasta) untuk melabur, berinovasi dalam aktiviti R&D dan beroperasi secara BVLOS serta operasi-operasi lain yang memerlukan aktiviti sokongan tambahan daripada CAAM kerana risiko tambahan dalam industri UAS yang semakin berkembang pesat. Oleh itu, CAAM telah merumuskan bahawa penilaian risiko yang mantap amat perlu untuk membolehkan operasi seperti ini dijalankan dan terus berkembang. Keperluan tambahan seperti Rancangan Tindak Balas Kecemasan (ERP), Sistem Pengurusan Keselamatan (SMS) dan Sistem Pengurusan Trafik UAS (UTM) turut menjadi elemen penting kepada pengendali atau individu yang ingin beroperasi dalam skop ini tanpa menjejaskan keselamatan orang awam.
 
CAAM tidak lama lagi akan melancarkan garis panduan yang lain termasuk kategori ‘terbuka’ dan dron 'hobi' bagi tujuan riadah atau rekreasi yang dijangka selesai pada suku ketiga tahun 2021. Oleh kerana arus teknologi yang terus berkembang dan ianya memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan seharian, MOT dan CAAM akan terus menawarkan fasilitasi dan menyokong pertumbuhan industri dron yang dinamik tanpa menjejaskan kepentingan dan keselamatan orang ramai. Antara tahun 2015 dan 2019, sebanyak 46,876 dron telah diuji dan didaftarkan dengan SIRIM yang dikeluarkan bersama logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pada tahun 2020, terdapat kira-kira 10,000 unit dron berdaftar.
 
MOT berharap dapat melihat para pengendali dron yang kompeten terus berdaya maju serta menjadi sebahagian daripada pembangunan dalam teknologi dan industri UAS.
2 Comments