Tiga Adun Amanah lompat PKR
15:02 Feb 28, 2021  |  By SabahKini2
Tiga Adun Amanah lompat PKR

Bukan saja Sabah Warisan plus sedang bergolak, Johor sesama PH juga saling mencuri adun. Nampaknya PH juga semakin ranap

Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang, Khairuddin A Rahim mengakui beliau bersama dua lagi Adun Parti Amanah Negara (Amanah) dari Johor, sudah menyertai PKR.

Dua lagi Adun berkenaan ialah Adun Serom, Faizul Amri Adnan dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Khairuddin berkata, kepemimpinan tertinggi Amanah sudah dimaklumkan mengenai 'perpindahan' mereka ke PKR selepas permohonan yang dihantar September tahun lalu diterima PKR sebulan selepas itu.

"Tiada sebab tertentu kami beralih kepada PKR apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu Pakatan Harapan (PH) menggunakan lambang PKR untuk bertanding," katanya.

Ditanya khabar angin perselisihan faham beliau, Faizul Amri dan Muhamad Said dengan pemimpin Amanah Johor menjadi punca perpindahan mereka ke PKR, Khairuddin menafikannya.

"Tidak benar. Saya ingin menafikan khabar angin itu. Hubungan kami baik-baik saja.

"Kami masih ahli dalam PH dan akan menjaga hubungan baik dalam gabungan," katanya.

Mengulas mengenai kerusi Senggarang, Khairuddin berkata, beliau tidak akan mengekalkan kerusi berkenaan kerana ia milik Amanah.

"Saya akan ikut arahan pucuk pimpinan jika saya diletakkan sebagai calon nanti namun ia bukan kerusi Senggarang.

"Namun saya dan rakan akan terus membantu Amanah untuk mengekalkan kerusi Senggarang atau di mana saja kerana kami masih berada dalam PH.

"Apa yang penting kami buat kerja untuk manfaat rakyat dan akan terus memperjuangkan hak rakyat," katanya.

3 Comments