MP Julau, Tebrau PKR keluar parti menyokong Muhyiddin, PN
15:02 Feb 28, 2021  |  By SabahKini2
MP Julau,  Tebrau PKR keluar parti menyokong Muhyiddin, PN

Desas-desus Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien keluar PKR akhirnya dibuktikan. PM akhirnya menerima dua lagi SD sokongan PKR menyokong PN.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli parlimen PKR yang membuat keputusan meninggalkan parti itu bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Hari ini saya menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, YB Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.

"Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara," kata Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sng dilaporkan meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak serta kedudukan lain dalam parti itu. 

Langkah yang sama dikatakan turut diambil oleh Steven Choong.

Perkara itu juga dimaklumkan oleh Hizwan Ahmad, yang merupakan setiausaha politik kepada bekas ahli parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin.

"Selepas 1 tahun menilai prestasi Kerajaan, hari ini dua ahli parlimen PKR buat keputusan sokong YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Perikatan Nasional.

"Tahniah Julau dan Tebrau. Ke arah kerajaan stabil dan negara yang selamat. Sah, Perikatan Nasional untuk semua, untuk rakyat Malaysia," katanya.

26 Feb lalu di Sabah Adun Sebatik daripada Warisan mengumumkan keluar parti menyokong PN Sabah. Ia kemudiannya melarat dengan laporan 6 lagi bakal adun keluar parti.

Turut dilaporkan 3 adun Amanah melompat kepada PKR.

Dijangka beberapa ahli parlimen PKR dan Warisan Sabah juga bakal menyokong kerajaan Perikatan Nasional dalam tempoh terdekat

8 Comments