(VIDEO) Pulau Gaya terbakar, lebih 70 buah rumah di Lok Urai musnah
10:03 Mar 12, 2021  |  By SabahKini2
(VIDEO) Pulau Gaya terbakar, lebih 70 buah rumah di Lok Urai musnah

Bagaimanapun, dalam insiden kira-kira jam 8 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

 
KOTA KINABALU: Lebih 70 buah rumah di penempatan atas air musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, pada Khamis malam.
 
Insiden turut menyebabkan lebih 200 penghuni di lokasi berkenaan hilang tempat tinggal.
 
Bagaimanapun, dalam insiden kira-kira jam 8 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
 
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sebentar tadi, api marak bermula sekitar jam 8 malam sebelum merebak ke kawasan perkampungan lain.
Hasil tinjauan di lokasi mendapati ratusan penduduk kampung terpaksa terjun ke laut sebelum mendapatkan bot untuk menyelamatkan diri.

Menurut bomba, api marak bermula sekitar jam 8 malam sebelum merebak ke kawasan perkampungan lain. 
 
"Operasi memadam dan menyelamat sedang giat dijalankan.
 
"Sepasukan anggota bomba menggunakan bot untuk ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi berkenaan," katanya.
 
Untuk rekod, anggaran perjalanan ke Pulau Gaya dari arah tanah besar Kota Kinabalu mengambil masa lebih 10 minit dengan menggunakan bot.
 
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, tiga pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di Sembulan, Likas dan Damai bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
 
Menurut Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip, pihaknya akan melakukan pemantauan rapi bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terlibat.
 
"PPS sudah dibuka di Sembulan dan Likas, dan juga mungkin Damai, kalau ada keperluan. Sementara itu, pihak-pihak yang lain juga dalam keadaan sedia.
 
"InsyaAllah kita harapkan tidak ada sebarang kecederaan. Pihak polis sudah berada di lapangan. Begitu juga dengan bomba, polis marin dan juga SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd), sudah dihantar untuk mengawal keadaan," katanya selaku Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Kinabalu.
Comment