Peter Anthony Gagal pindah kes ke Mahkamah Sabah, Bicara kes dokumen palsu mulai 5 April
16:03 Mar 18, 2021  |  By SabahKini2
Peter Anthony Gagal pindah kes ke Mahkamah Sabah, Bicara kes dokumen palsu mulai 5 April

Akhirnya mula 5 April dengan kes guna dokumen palsu. Peter sebelum ini menggunakan pelbagai alasan menangguhkan kesnya tidak hadir kerana vertigo, pindahkan kes ke Kota Kinabalu dan tidak hadir kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB).

KUALA LUMPUR: Selepas gagal membatalkan 5 pertuduhan kes pengubahan wang haram dan pecah amanah awal mac lalu hari ini Mahkamah Tinggi di sini, menolak pula permohonan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony yang didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu UMS bagi memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen, di sini, ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika ditemui media selepas selesai pendengaran permohonan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Terdahulu, Wan Shaharuddin, memberitahu bahawa permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu ditolak kerana Mahkamah Tinggi di sini tidak mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan kes berkenaan ke Sabah.

“Sehubungan itu, perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan bermula 5 April ini.

“Mahkamah turut menetapkan 6,7,8,9 19,20,21,22,23 April untuk perbicaraan kes,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, pihaknya berkemungkinan memanggil seramai 12 saksi antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Peter, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Dokumen itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS mengadakan kolaborasi dengan syarikat Asli Jati Engineering, yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E), serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat terbabit bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Peter dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif, iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter sebelum ini menggunakan pelbagai alasan untuk menangguhkan kesnya tidak hadir kerana vertigo, memindahkan kes ke Kota Kinabalu dan tidak hadir kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB).

[ARTIKEL BERKAITAN-Peter tidak hadir ke mahkamah alasan PKPB serta Mohon Pindah Kes Ke Mahkamah Sesyen KK ]

[ARTIKEL BERKAITAN- Peter menipu, guna dokumen palsu di Semenanjung tapi mohon pindah kes ke Mahkamah Sesyen KK

Peter tidak hadir ke mahkamah alasan PKPB serta Mohon Pindah Kes Ke Mahkamah Sesyen KK

Pada 11 Jun tahun lalu, Peter didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bersama peguam kontroversi Michael P Ubu.

Beliau juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama, atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah membabitkan pembelian tanah Risda bernilai RM15,545,400. 

11 Comments