Dua kluster baharu: Petugas Kedai Emas Penguat Kuasa
00:03 Mar 28, 2021  |  By SabahKini2
Dua kluster baharu: Petugas Kedai Emas  Penguat Kuasa

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata dua kluster terbabit, Kluster Jalan Kastam Baru di Lahad Datu mencatatkan enam kes, manakala Kluster Inanam Taipan di Inanam, Kota Kinabalu mencatatkan sembilan kes.

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan dua kluster baharu COVID-19, hari ini, masing-masing di daerah Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata dua kluster terbabit, Kluster Jalan Kastam Baru di Lahad Datu mencatatkan enam kes, manakala Kluster Inanam Taipan di Inanam, Kota Kinabalu mencatatkan sembilan kes.

“Kluster Jalan Kastam Baru di Lahad Datu mula dikesan pada 25 Mac lepas, apabila kes indeks ialah pegawai penguat kuasa, disahkan positif melalui saringan bergejala di klinik kerajaan.

“Susulan kes itu, saringan kontak rapat dan saringan tempat kerja dijalankan ke atas 51 orang dengan enam kes didapati positif, manakala 39 orang lagi masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Bagi Kluster Inanam Taipan di Inanam Kota Kinabalu, kes indeks ialah kakitangan khidmat pelanggan di kedai menjual barang kemas dan disahkan positif melalui saringan bergejala, pada 16 Mac.

“Berdasarkan penelitian kes, jangkitan berpunca daripada komuniti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal sebanyak dua angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini sebanyak 64 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,584 kes dan satu kes kematian direkodkan di daerah Tawau.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar hospital ialah 48, menjadikan jumlah kumulatif 53,733 orang.

“Seramai 422 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 172 orang di hospital dan 250 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya.

Mengenai statistik vaksinasi di Sabah, Masidi berkata, setakat ini seramai 19 orang sudah menerima suntikan vaksin harian dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 42,007 orang.

Selain itu, bagi dos kedua vaksin Pfizer BioNTech, seramai 2,321 orang sudah menerima suntikan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 5,152 orang. – BH 

Comment