Dulu ditolak Warisan, kini LDP cuba nasib sertai PN
13:03 Mar 29, 2021  |  By SabahKini2
Dulu ditolak Warisan, kini LDP cuba nasib sertai PN

Selepas kalah PRU-14 Mei 2018 pada ogos 2018 LDP memohon menyertai Warisan. Bagaimanapun permohonan itu ditolak oleh Warisan atas sebab politik. Kini LDP nampak peluang baharu. Sertai PN maka dapat kerusi pilihanraya semula?

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) yang bermesyuarat hari ini meluluskan usul untuk parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, parti itu membuat keputusan berkenaan selepas melihat kesungguhan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika berdepan cabaran COVID-19 ketika ini.

"LDP yakin dengan kepemimpinan Perdana Menteri terutama dalam usahanya memerangi COVID-19 termasuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi di saat negara menghadapi pandemik itu.

"Ia satu kenyataan hanya sebuah parti politik arus perdana yang dapat menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika pandemik COVID-19 melanda negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Su Phin berkata, LDP kini fokus untuk persidangan dan pemilihan 28 bahagian parti itu yang akan bermula Mei hingga Ogos ini manakala mesyuarat agung tahunan serta pemilihan parti dijadual diadakan pada akhir tahun ini.

"Kami akan memberi peluang kepada ahli muda untuk memimpin. Saya juga menjangkakan sebahagian besar daripada bahagian akan dipimpin golongan muda," katanya. 

Baru-baru ini Gerakan telah menyertai Perikatan Nasional.

Penyertaan parti-parti komponen kecil yang dahulunya BN dan tewas dalam Pilihanraya kini berpusu-pusu menyertai PN. Ia dilihat sangat positif kepada kuantiti parti komponen namun memberi kesan besar kepada pemberian kerusi pilihanraya. Jika parti kecil ini menyertai PN semata-mata mahu kerusi pilihanraya ia akan memberi kesan buruk kepada PN di kemudian hari.

3 Comments