Sabah Maju Jaya Gariskan Tiga Teras Utama – Ketua Menteri
14:03 Mar 30, 2021  |  By SabahKini2
Sabah Maju Jaya Gariskan Tiga Teras Utama – Ketua Menteri

Beliau berkata, tiga teras itu adalah berdasarkan slogan SMJ iaitu S – merujuk tiga sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan; M – merujuk modal insan dan kesejahteraan rakyat; manakala J – merujuk jaringan inf

Pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), menggariskan tiga teras utama bagi membangunkan negeri itu dalam tempoh antara 2021 sehingga 2025, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, tiga teras itu adalah berdasarkan slogan SMJ iaitu S – merujuk tiga sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan;  M – merujuk modal insan dan kesejahteraan rakyat; manakala J – merujuk jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Tiga teras utama SMJ akan dipacu oleh lima pemboleh daya iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan dan kecekapan penyampaian, kecemerlangan tadbir urus berintegiriti, dan kerajaan digital.

“SMJ bukan pelan milik peribadi Ketua Menteri dan Ahli Jemaah Menteri, bukan juga hak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bukan pelan hanya untuk penjawat awam, SMJ adalah hala tuju kita bersama sebagaimana jata negeri adalah hak dan milik semua anak watan Sabah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hala Tuju SMJ di sini yang turut dihadiri tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Hajiji berkata lima objektif pelaksanaan pelan SMJ juga digariskan iaitu, untuk membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur dan sejahtera; mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; merangsang pemulihan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; dan membangunkan modal insan.

Katanya, pelan SMJ akan bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dan merupakan manifestasi kepada komitmen yang digariskan dalam Aku Janji GRS, dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 tahun lepas.

Beliau berkata, untuk memastikan hala tuju SMJ mencapai matlamatnya, setiap teras dan pemboleh daya akan disokong dengan pelbagai inisiatif.

“Sehingga kini sejumlah 584 inisiatif meliputi 304 inisiatif teras dan 280 inisiatif pemboleh daya telah dirangka untuk dilaksanakan bermula tahun tahun ini,” tambahnya. 

4 Comments