Menteri UMNO setuju kekal dalam Kabinet- Muhyiddin
10:03 Mar 31, 2021  |  By SabahKini2
Menteri UMNO setuju kekal dalam Kabinet- Muhyiddin

Muhyiddin berkata, pada masa ini tumpuan kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara. Beberapa orang menteri UMNO memegang portfolio penting berkaitan fokus kerajaan pada masa ini.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua menteri dari UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet hasil kesepakatan yang dicapai.

Perdana Menteri berkata, dengan kesepakatan itu, Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

"Menteri-menteri dari UMNO menemui saya pada Isnin lalu. Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet, berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Saya menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

"Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, pada masa ini tumpuan kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.

Jelasnya, beberapa orang menteri dari UMNO memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus kerajaan pada masa ini.

"Justeru, saya tidak mahu perletakkan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) pada Ahad lalu meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Usul Ucapan Dasar Presiden itu diluluskan sebulat suara selepas dicadangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan disokong oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani.

Susulan keputusan itu, beberapa menteri UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya kelmarin difahamkan bagi membincangkan isu perletakkan jawatan.

Pertemuan itu berlangsung hampir sejam sebelum kenderaan membawa menteri terbabit dilihat meninggalkan kompleks Pejabat Perdana Menteri pada jam 6.45 petang.

1 Comment