Pendaftaran Penerima Vaksin: Sabah terendah, paling perlahan seluruh negara
11:03 Mar 31, 2021  |  By SabahKini2
Pendaftaran Penerima Vaksin: Sabah terendah, paling perlahan seluruh negara

Wake up! Sabah catat kadar pendaftaran terendah berbanding populasi, apabila 11.49 peratus atau 336,997 daripada lebih 2.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas mendaftar. Kadar pendaftaran paling perlahan, sekitar 1.43 peratus dalam 7 hari

KUALA LUMPUR: Jumlah pendaftaran penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera mencapai 7,421,658 setakat 30 Mac 2021. Jumlah pemberian dos vaksin COVID-19, Dos pertama ialah 473,276 Dos kedua ialah 188,385.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di Twitter hari ini yang dikongsikan oleh Dr Adham Baba Menteri Kesihatan menunjukkan jumlah itu kini meliputi 30.21 peratus daripada 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang disasarkan menerima vaksin COVID-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Jumlah itu dicapai dalam tempoh 35 hari selepas pendaftaran untuk menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerusi MySejahtera mula dibuka pada 23 Februari lalu.

Daripada jumlah itu Sabah mencatatkan kadar pendaftaran terendah berbanding populasi, apabila 11.49 peratus atau 336,997 daripada lebih 2.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas mendaftar dalam tempoh berkenaan.

Sabah juga mencatat kadar pendaftaran paling perlahan, sekitar 1.43 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, berbanding negeri lain yang mencatat pertambahan antara 3.47 hingga 5.57 peratus dalam tempoh sama.

Secara keseluruhan, Putrajaya merekodkan kadar pendaftaran tertinggi berbanding populasi, dengan 47,866 atau 84.12 peratus daripada lebih 56,000 penduduknya mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Ia disusuli Kuala Lumpur (625,045); Selangor (2.03 juta); Pulau Pinang (515,886); Negeri Sembilan (306,687); Melaka (236,805); Johor (942,337) dan Labuan (23,840).

Selain itu, Sarawak (522,136); Perak (541,383); Perlis (50,643); Kedah (402,287); Pahang (301,304); Terengganu (203,304); Kelantan (220,335) dan Sabah (336,997).

PICK mensasarkan untuk memberi vaksin kepada kira-kira 80 peratus populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas menjelang suku pertama tahun depan, bagi mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19.

Malaysia berada dalam Fasa 1 PICK yang mensasarkan untuk memberi vaksin sekurang-kurangnya kepada 500,000 petugas barisan hadapan menjelang April, manakala Fasa 2 akan bermula pada 19 April.

Fasa 2 imunisasi dijadualkan sehingga Ogos depan adalah untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula dijadualkan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Kerajaan Negeri Sabah perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan pendaftaran penerima vaksin Covid-19. Sekalipun kes di Covid-19 semakin menurun usaha perlu dilakukan kempen pendaftaran penerimaan Vaksin

 

7 Comments