Rasuah RM8 juta: Dato' Zafer Bekas Presiden Bank Pembangunan ditahan SPRM
16:03 Mar 31, 2021  |  By SabahKini2
Rasuah RM8 juta: Dato' Zafer Bekas Presiden Bank Pembangunan ditahan SPRM

Dato' Zafer dan 3 lagi rakannya ditahan kerana rasuah SGD3,168.366.00 atau RM8 juta sebagai komisyen luluskan pinjaman RM400 juta projek yang tidak wujud.

Putrajaya - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 4 orang termasuk Dato' Mohd Zafer Mohd Hashim bekas Presiden merangkap Pengarah Urusan  Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman kewangan berjumlah RM400 juta kepada sebuah syarikat.

Kesemua yang ditahan berusia di antara 49 hingga 53 tahun. Mereka telah ditangkap di sekitar Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Menurut sumber, keempat-empat yang ditahan telah menerima rasuah yang dianggarkan sebanyak SGD3,168.366.00 iaitu lebih kurang RM8 juta sebagai komisyen untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan sebanyak RM400 juta bagi projek yang dipercayai tidak wujud.

Ini adalah suatu perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu dengan sengaja mewujudkan projek yang tidak sah dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan. Setelah pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperolehi, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.

Dato' Mohd Zafer bekas presiden yang juga pengarah urusan BPMB dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah diterima.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Bin Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Keempat-empat telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahankan reman sebanyak 3 hari bermula 31 Mac 2021 hingga 2 April 2021 di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Dato' Mohd Zafer sebelum ini selain sebagai bekas Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) juga bekas pengarah Global Maritime Ventures Bhd (GMV). Kini beliau dilaporkan sebagai ahli Lembaga Pengarah Syarikat  Malaysian Bulk Carriers Bhd

61 Comments