“Kita tak perlu gaduh yang penting menang banyak kerusi di Sabah,” Kata Hajiji
08:04 Apr 02, 2021  |  By SabahKini2
“Kita tak perlu gaduh yang penting menang banyak kerusi di Sabah,” Kata Hajiji

Hajiji yang juga ketua menteri Sabah dalam pada itu berkata, parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap fokus dalam melaksanakan mandat rakyat yang mahukan negeri itu dibangunkan terutama dari segi ekonomi, dan tidak terikut dengan situasi pol

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin kepemimpinan parti komponen boleh mencapai kata sepakat dalam agihan kerusi Parlimen pada PRU15.

Pengerusinya, Hajiji Noor berkata, parti komponen GRS akan mencari jalan terbaik jika perlu berhadapan dengan kesan situasi politik di Semenanjung pada PRU15.

“Kita yakin dengan kebijaksanaan kepemimpinan parti komponen GRS boleh capai kata sepakat untuk kerusi ditandingi.

“Kita tidak perlu gaduh yang penting boleh menang banyak kerusi di Sabah,” katanya

Hajiji yang juga ketua menteri Sabah dalam pada itu berkata, parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap fokus dalam melaksanakan mandat rakyat yang mahukan negeri itu dibangunkan terutama dari segi ekonomi, dan tidak terikut dengan situasi politik Semenanjung.

Jelas beliau, parti komponen GRS mempunyai persefahaman politik yang amat baik dalam melaksanakan mandat itu yang wajar dihormati oleh semua pihak.

“Dapat mandat kita laksanakan mandat rakyat… itu (situasi politik Semenanjung) tidak ganggu keadaan di sini kerana keadaan politik di sana berbeza dengan Sabah, kita tidak boleh terikut dengan cara mereka di sana (Semenanjung).

“Walaupun kita satu negara tetapi jauh juga dipisah dengan Laut Cina Selatan,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah pada sidang media selepas merasmikan pelancaran sambutan ulang tahun ke-75 RTM peringkat negeri di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kepayan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang menegaskan pendirian Umno Sabah mengutamakan kepentingan rakyat yang dahagakan pembangunan serta akan meneruskan kerjasama GRS demi kebaikan rakyat Sabah.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan perkembangan politik negara yang menyaksikan Umno mahu berhasrat bergerak solo pada pilihan raya umum akan datang.

GRS terdiri daripada parti komponen PN (PPBM, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS), Barisan Nasional (Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

 

1 Comment