Disebalik pendemik: Saham syarikat teknologi melonjak
21:04 Apr 02, 2021  |  By SabahKini2
Disebalik pendemik: Saham syarikat teknologi melonjak

Antara saham dalam Indeks Teknologi Bursa Malaysia yang meningkat hari ini, termasuk KESM Industries Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI), ViTrox Corp Bhd dan Datasonic Group Bhd.

KUALA LUMPUR: Indeks Teknologi Bursa Malaysia melonjak selepas menjejaki peningkatan indeks S&P 500 di Wall Street yang berada di atas paras 4,000 mata buat kali pertama dalam sejarah.

Peningkatan indeks teknologi di pasaran Amerika Syarikat (AS) itu didorong kenaikan dalam saham Microsoft, Amazon dan Alphabet, selain keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara berkenaan.

Antara saham dalam Indeks Teknologi Bursa Malaysia yang meningkat hari ini, termasuk KESM Industries Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI), ViTrox Corp Bhd dan Datasonic Group Bhd.

Kenanga Research dalam notanya mengukuhkan sekali lagi saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi pada suku kedua 2021, apabila permintaan bagi semikonduktor terus meningkat selepas melalui tahun yang cemerlang pada 2020 di sebalik pandemik.

"Dengan permintaan asas bagi cip dijangka kekal tinggi sepanjang 2021, kami percaya pengukuhan ini memberikan peluang kepada pelabur untuk menyusun semula strategi bagi meraih pertumbuhan lebih tinggi pada suku tahun berikutnya," katanya.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, kekurangan cip yang terjadi ketika ini kebanyakannya disebabkan isu permintaan tinggi, bukan gangguan bekalan.

Jelasnya, permintaan tinggi bagi cip disebabkan beberapa faktor antaranya peningkatan permintaan bagi peralatan pengguna disebabkan trend bekerja dari rumah dan lonjakan mendadak jualan konsol permainan.

"Selain itu, peningkatan jualan automotif kerana pengguna memilih kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam bagi mengekalkan penjarakan sosial dan pengembangan pusat data untuk memudahkan aktiviti perkomputeran yang lebih tinggi seperti e-pembelajaran, persidangan maya serta penstriman media.

"Juga, peningkatan mendadak aktiviti perlombongan kripto berikutan kenaikan harga mata wang kripto," katanya.

Kenanga Research menambah, industri telefon pintar global pula mencatatkan penurunan 12.5 peratus jualan tahun lalu yang dijangka kerana pengguna menahan pembelian untuk menunggu telefon pintar berkeupayaan 5G.

Katanya, ini dibuktikan dengan pelancaran iPhone 12 oleh Apple yang disokong 5G baru-baru ini, menyaksikan penghantaran pada suku keempat 2020 melonjak 97 peratus suku ke suku dan 15 peratus tahun ke tahun.

"Susulan itu, Apple menerajui semula pasaran telefon pintar dan merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah pada suku kewangan terkininya.

"Tinjauan positif kami bagi industri telefon pintar adalah sejajar unjuran pertumbuhan 11 peratus yang dibuat Gartner dengan telefon pintar 5G akan merangkumi 35 peratus daripada jualan keseluruhan," katanya.

62 Comments