Kluster Majlis keramaian, Kerajaan bangunkan aplikasi khas daftar majlis
23:04 Apr 03, 2021  |  By SabahKini2
Kluster Majlis keramaian, Kerajaan bangunkan aplikasi khas daftar majlis

Berikutan penularan kes yang berpunca daripada majlis keramaian, semakin bertambah di Sabah kerajaan membangunkan aplikasi khas bagi membendung jangkitan membabitkan majlis sosial

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membangunkan aplikasi khas dalam masa terdekat, sebagai saluran untuk masyarakat mendaftarkan sebarang penganjuran majlis.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ia sebagai makluman kepada pihak kerajaan negeri, sejajar usaha menangani peningkatan kes membabitkan majlis sosial.

Beliau menjelaskan, langkah itu perlu berikutan penularan kes yang berpunca daripada majlis keramaian, semakin bertambah di Sabah sejak kebelakangan ini.

"Sebagaimana diketahui umum, peningkatan kes COVID-19 di Sabah adalah berpunca daripada majlis keramaian seperti perkahwinan, kenduri dan majlis sosial yang lain.

"Ia adalah saluran untuk masyarakat mendaftar sebarang majlis sebagai makluman kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.

Sementara itu, orang ramai yang pernah berkunjung ke premis Courts Malaysia di Kubota Central, Tawau, 22 Mac lalu, diminta menjalani saringan COVID-19 di klinik kesihatan awam berdekatan.

Masidi berkata, perkara itu berkaitan Kluster Kubota Central di Tawau yang mencatat dua kes baharu, hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya sembilan jangkitan, hingga kini.

"Kes indeks ialah seorang jurujual lelaki berumur 25 tahun yang disahkan positif selepas menjalani saringan bergejala di sebuah klinik pada 29 Mac lalu.

"Saringan di tempat kerja mengesan enam kes positif, manakala dua lagi melalui saringan kontak rapat, iaitu ahli keluarga kepada rakan sekerja. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan," katanya.

Comment