MDEC, CIMB Islamic sedia pembiayaan pertanian digital
23:04 Apr 03, 2021  |  By SabahKini2
MDEC, CIMB Islamic sedia pembiayaan pertanian digital

Peruntukan itu berpotensi meningkat kepada RM25 juta sejajar dengan kemajuan program.

CYBERJAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bekerjasama dengan CIMB Islamic Bank Bhd untuk menyediakan pembiayaan mikro dengan peruntukan pakej dana permulaan RM10 juta bagi memacu Teknologi Pertanian Digital (Digital Agtech) di Malaysia.

Peruntukan itu berpotensi meningkat kepada RM25 juta sejajar dengan kemajuan program.

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, berkata MDEC tampil dengan inisiatif untuk memacu penggunaan teknologi digital menerusi projek perintis eLadang yang dilaksanakan menerusi kerjasama awam swasta dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) pada 2018.

Beliau berkata, menerusi projek perintis berkenaan, petani di PPKKL didedahkan dengan penggunaan sistem fertigasi berasaskan Internet Kebendaan (IoT) yang membantu mereka mengurangkan penggunaan baja bulanan sebanyak 20 peratus, menurunkan tenaga kerja bulanan sebanyak 25 peratus dan meningkatkan kualiti hasil cili Gred A hingga 90 peratus dalam tempoh singkat.

"Objektif kerjasama dengan CIMB Islamic bertujuan memberi tambahan model pembiayaan mikro oleh pihak swasta dan seterusnya mendorong penggunaan teknologi digital untuk pertanian berdasarkan kerangka yang disediakan MDEC.

"Kemudahan pembiayaan ini akan mengurangkan kesukaran yang dihadapi petani untuk memulakan perjalanan digitalisasi dan seterusnya meningkatkan hasil dan pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MDEC dan CIMB Islamic di sini.

Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

Mengulas mengenai pembiayaan yang disediakan, Ahmad Shahriman berkata, CIMB Islamic menyasarkan 500 petani akan mendapat manfaat daripada pembiayaan itu.

Beliau berkata, purata pembiayaan bagi setiap petani yang layak adalah kira-kira RM20,000.

"Sebagai permulaan, kami memperuntukkan RM10 juta pembiayaan untuk program ini. Jika ia mendapat sambutan, jumlah peruntukan akan ditambah kepada RM25 juta," katanya.

Inisiatif Digital utama terkini MDEC seperti eLadang berjaya menarik 548 peserta sehingga Disember 2019.

 

Comment