Teka -teki terjawab, ADUN Sebatik sertai BERSATU
00:04 Apr 06, 2021  |  By SabahKini2
Teka -teki terjawab, ADUN Sebatik sertai BERSATU

Selepas keluar dari Parti Warisan, Adun Sebatik itu dikecam kuat oleh Warisan dan diugut disaman. Namun akhirnya beliau memilih untuk menyertai BERSATU. Bukti ugutan mahkamah, tandatangan SD tidak laku.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, hari ini, menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU.

Ia sekali gus menjawab teka-teki mengenai hala tuju politik beliau selepas mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menjadi wakil rakyat bebas pada Februari lalu.

Hassan menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Hajiji kemudian menyerahkan borang berkenaan kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sambil disaksikan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Kedua BERSATU Sabah, di sini, malam ini.

Hassan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September lalu atas tiket WARISAN.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tindakannya meninggalkan WARISAN didorong kekecewaan dengan sikap pemimpinnya yang terlalu banyak berpolitik ketika rakyat berdepan kesusahan disebabkan pandemik COVID-19.

Tindakan Hassan A Gani keluar parti dikecam kuat oleh pemimpin Warisan sehingga dilaporkan kepada SPRM serta ugutan mahkamah. Begitu juga surat palsu peletakkan jawatan oleh Adun Sebatik turut dihantar kepada pejabat Speaker DUN Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- Tidak puas hati Warisan lapor SPRM Adun Sebatik keluar parti ]

[ARTIKEL BERKAITAN- 'Surat tidak sahih' speaker kekalkan Kerusi DUN Sebatik, Warisan ambil tindakan mahkamah ]

Keluarnya Hassan diramalkan lebih ramai Adun Warisan yang keluar parti. Kegagalan Warisan menghalang Hassan mungkin satu 'precedent case' bagi Adun lain melompat parti di kemudian hari.

 

 

 

7 Comments