Bekas Pendaftar UMS dakwa ditipu Peter, kini diugut untuk sahkan dokumen palsu
15:04 Apr 09, 2021  |  By SabahKini2
Bekas Pendaftar UMS dakwa ditipu Peter, kini diugut untuk sahkan dokumen palsu

Abdullah (Saksi) berasa sangat terkesan kerana ditipu oleh Peter!. Kerana kes itu Abdullah dipindahkan jawatan. Kini Peter dan wakilnya menganggu, mengugut Abdullah untuk sahkan dokumen palsu sebagai tulen.

Seorang lagi saksi perbicaraan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony memaklumkan beliau berasa ditipu oleh Peter Anthony berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bekas Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd Said, 66, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau telah dikenakan tindakan tatatertib dan didenda oleh pihak pengurusan UMS selain dipindahkan jawatan daripada pendaftar universiti kepada pengerusi anak syarikat milik penuh UMS, Ulink Property Sdn Bhd pada 2015 akibat penipuan berhubung kontrak itu.

“Saya berasa sangat terkesan kerana ditipu oleh Peter dalam konteks ini kerana tujuan sebenar kami (pihak universiti dan syarikat milik Peter, Asli Jati Engineering Sdn Bhd) bekerjasama adalah berkenaan ‘smart partnership’ tetapi yang diluluskan adalah penyambungan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) kepada Asli Jati,” katanya dalam nada sebak.

Abdullah berkata program ‘smart partnership’ atau perkongsian pintar itu adalah hasrat Peter untuk Ulink Property dan Asli Jati menjalin kerjasama, dengan syarikat tersebut akan membina bangunan di UMS Urban Transformation Centre (UTC) secara tanggungjawab sosial koporat (CSR) bagi kemudahan pelajar universiti menjalani latihan kemahiran, kursus jangka pendek dan lain-lain kursus.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada hari keempat perbicaraan kes Peter yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem tersebut.

Peter adalah Pengarah Urusan Asli Jati.

Laporan polis diugut Peter dan pengikutnya

Abdullah berkata beliau membuat laporan polis di Balai Polis Putatan, Penampang, Sabah pada 27 Mac lepas kerana telah diganggu oleh Peter dan wakilnya melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas dalam beberapa kejadian antara 6 Nov 2017 hingga 25 Mei 2021.

Abdullah berkata laporan polis itu antara lain menyatakan pada 15 Oktober 2020, Peter melalui wakilnya meminta Abdullah menghubunginya berkenaan kes yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Datuk Peter minta saya mengakui sebuah dokumen sebagai ‘betul’ namun saya tolak pelawaan itu atas alasan saya hendak beri tumpuan kepada ibadah saya selain tidak berminat. Tujuan saya membuat laporan adalah bagi menjaga keselamatan saya dan keluarga serta takut mengganggu perjalanan perbicaraan kes Datuk Peter, di mana saya adalah salah seorang saksi bagi perbicaraan itu,” katanya. 

 

6 Comments