DMU mula beroperasi di Malaysia
16:04 Apr 12, 2021  |  By SabahKini2
DMU mula beroperasi di Malaysia

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tren berkenaan disediakan untuk kemudahan rakyat khususnya di Kelantan dan Pahang.

Pasir Mas: Tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang menggantikan lokomotif dan koc penumpang mampu merancakkan sektor ekonomi, sosial dan pelancongan di kawasan Pantai Timur.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tren berkenaan disediakan untuk kemudahan rakyat khususnya di Kelantan dan Pahang.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM380 juta bagi pembelian 13 unit tren bagi laluan dari Tumpat, Kelantan ke Gemas, Negeri Sembilan tidak termasuk kos membaiki laluan yang rosak akibat banjir besar pada 2014.

"Projek berkenaan sudah siap 80 peratus dan Kementerian Pengangkutan akan memantau bagi mempercepatkan pembinaan baki 20 peratus secepat mungkin.

"Larian komersial tren DMU ini akan dijalankan secara berperingkat dan larian pertama tren bermula hari ini bagi laluan Tumpat ke Gua Musang dengan jarak 216 kilometer (km) serta Gua Musang ke Kuala Lipis berjarak 94 km.

"Tren ini lebih baik (canggih) dari tren diesel konvensional kerana mampu menampung keperluan termasuk mempunyai tempat simpan beg, ada soket kuasa, bilik solat, tandas dan lebih mesra orang kurang upaya (OKU). Semua tempat duduk adalah sama, tiada beza antara VIP (orang kenamaan) atau orang biasa serta OKU," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran DMU di Stesen Keratapi Pasir Mas, di sini

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, pembinaan tren DMU menunjukkan kerajaan turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan lebih baik di luar bandar dan bukan sahaja menumpukan di sekitar Lembah Klang sahaja.

Katanya, sektor Pantai Timur amat luar biasa kerana ada rakyat yang bergantung sepenuhnya dengan tren untuk pergi ke sekolah terutama di Dabong dan Kuala Geris.

"Tren ini menyediakan satu persekitaran lebih kondusif untuk pelajar. Bukan sahaja untuk pergi ke sekolah, tetapi akan menyediakan mini perpustakaan untuk kemudahan pelajar," katanya.

1 Comment