Sabah perlu pelaburan projek solar berskala besar
09:04 Apr 13, 2021  |  By SabahKini2
Sabah perlu pelaburan projek solar berskala besar

Sabah masih memerlukan tambahan penjanaan kuasa sebanyak 3,000 hingga 4,000 MegaWatt (MW) melalui tenaga hijau untuk mencapai harga kadar elektrik yang lebih murah. Projek Solar Berskala Besar (LSS) adalah jawapannya.

November tahun lalu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju menangani isu kekurangan bekalan elektrik menerusi pemasangan kuasa solar dan janakuasa bergerak dengan keupayaan menjana 300 megawatt (Mw) tenaga di pantai timur Sabah.

Ia sebagai langkah sementara dalam tempoh setahun setengah sebelum sebuah penyedia tenaga bebas (IPP) berkapasiti 1,000 Mw dibina.

Kos bernilai berbilion ringgit sudah tentu demi kebaikan rakyat Sabah bukan saja pengguna di kawasan pantai timur seperti di Sandakan dan Tawau

ARTIKEL BERKAITAN- Kuasa Solar, Janakuasa bergerak tangani isu bekalan elektrik Sabah ]

Hakikatnya Sabah perlu menjana lebih banyak kuasa elektrik melalui tenaga hijau (tenaga boleh diperbaharui) supaya boleh mencapai harga elektrik yang lebih murah. Tenaga hijau meliputi solar, angin, hidro, biomas dan biogas.

Sabah masih memerlukan tambahan penjanaan kuasa sebanyak 3,000 hingga 4,000 MegaWatt (MW) melalui tenaga hijau untuk mencapai harga kadar elektrik yang lebih murah.

Penjanaan kuasa di Sabah adalah 5 peratus daripada diesel dan 86 peratus daripada gas. Penjanaan daripada diesel dan gas adalah lebih mahal. Dan, Sabah hanya menjana 8 peratus  kuasa daripada tenaga hidro (tenaga hijau).

Berbeza dengan Sarawak, 77 peratus daripada penjanaan kuasa keseluruhan negeri itu adalah daripada tenaga hidro dan hanya 1 peratus daripada diesel dan 11 peratus daripada gas. 

 Sumber: Suruhanjaya Tenaga 

 

Apa Sabah boleh lakukan?

Sabah terus berhadapan krisis bekalan elektrik yang tidak pernah selesai.  Sumber bekalan daripada TNB/SESB dan penyedia tenaga bebas  IPP terus tidak mencukupi malah sentiasa berhadapan masalah gangguan bekalan elektrik hampir setiap hari yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian malah mengakibatkan kerosakan harta benda. Ahli Parlimen Kimanis dalam sidang Dewan pernah membawa isu ini dan menggelarkannya sebagai  masalah  ‘terlalu dahsyat’.

Inilah punca salah satu sebab utama pelabur asing ragu untuk melabur di Sabah dalam pelbagai bidang industri dan juga pelancongan  kerana kekurangan infrastruktur termasuk bekalan elektrik yang mencukupi dan meyakinkan pelabur.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pernah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa keperluan tenaga dunia dijangka akan meningkat menjelang 2030 dengan bahan api fosil kekal menjadi sumber utama walaupun bekalannya semakin berkurangan.

Sabah perlu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil seperti petroleum, gas dan arang batu.

Syarikat utiliti utama seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu segera mencari alternatif kerana sumber tenaga konvensional seperti petroleum, gas asli, dan arang batu semakin berkurangan.

Pengarah Kejuruteraan Elektrik Kuasa dari Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Jasrul Jamani Jamian berkata kebergantungan yang ‘berat’ terhadap bahan bakar konvensional ini bukan sahaja perlu dibayar dengan kerosakan pada alam sekitar malah manusia juga tertekan dengan kos yang perlu dibayar secara wang ringgit.

Oleh itu, alternatif terbaik adalah dengan menggunakan kaedah solar iaitu tenaga yang bersumberkan cahaya matahari.

Projek Solar Berskala Besar (LSS)

Bayangkan 16,640MWh tenaga solar berpotensi menjana lebih daripada 5,800 rumah mengimbangi kira-kira 11,548 tan jejak karbon setiap tahun. Ia bukan sahaja menjadi tenaga yang boleh diganti semula, malah menjadikan persekitaran hijau dan lebih bersih. Jika melibatkan kawasan lombong atau tasik, tiada satu pun pokok yang perlu ditebang dan penanaman baharu tidak perlu dilakukan.

 

Di Negeri -negeri di Semenanjung seperti Selangor Projek Solar Berskala Besar (LSS) dibina di kawasan bekas lombong, tasik dan juga ladang sawit.

Di Sabah Stesen Janakuasa tenaga solar berskala besar (LSS) turut dibina berkapasiti 50 megawatt (MW) di Kampung Lau San, Kudat oleh syarikat Tadau Energy Sdn Bhd dengan kerjasama syarikat China iaitu CPI Power Engineering Co LTD (CPIPEC). Pelaburan RM300 juta itu dimulakan pada tahun 2017 disalurkan ke talian 132 kilovolt (kv) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).  Projek ini dibiayai menerusi penerbitan sukuk hijau bernilai RM250 juta iaitu pembiayaan patuh syariah pertama di dunia.

Projek Solar Berskala Besar (LSS) Tadau Energy Sdn Bhd di Kudat Sabah

Berdasarkan anggaran kos tenaga diperingkat Sabah sebanyak RM0.565 / KWh daripada stesen janakuasa, pelaksanaan tenaga solar pula boleh memberi penjimatan kos kepada kerajaan kira-kira  RM480 ​​juta setahun. Bayangkan dalam tempoh 25 tahun! RM12bilion kerajaan jimat kerana menggunakan tenaga solar.

Jika kita melihat berdasarkan kos Stesen Janakuasa diesel milik IPP di Sabah dengan kos penjanaan setinggi RM0.98 / KWh, penjimatan kos mencecah  RM1.15 billion  setahun atau RM28.75 billion jika tempoh konsesi IPP selama 25 tahun.

Kerajaan Sabah tidak wajar lagi memperbanyakkan IPP konvensional ini malah konsesi yang tamat sepatutnya tidak disambung kerana kerajaan menanggung kerugian yang besar. Lebih baik projek itu dialihkan kepada Projek Solar Berskala Besar (LSS).

Hari ini Kerajaan Malaysia telah meletakkan sasaran Tenaga diperbaharui (RE) sebanyak 31 peratus untuk tahun 2025 dan 40 peratus bagi 2035. Sehubungan itu, pelepasan karbon daripada bahan bakar fosil dijangka berkurangan 45 peratus pada 2025 dan 60 peratus menjelang tahun 2035. Malah terdapat usaha untuk menetapkan sasaran yang lebih tinggi di bawah dasar tenaga boleh diperbaharui (RE) negara.

Oleh itu mengapa tidak Kerajaan Sabah memanfaatkan tenaga solar ini?. Tidak ada isu dari segi meningkatkan kuota bagi penggiat industri terlibat dalam tenaga solar kerana masalah rakyat mendapat bekalan elektrik lebih utama. Sabah sudah jauh tertinggal dengan Semenanjung Malaysia. Sabah boleh menentukan sendiri penggunaan tenaga elektriknya. Kerajaan Kerajaan perlu berani melaksanakannya secara besar-besaran.

Pelaburan ke Sabah

Disember tahun lalu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan Kerajaan Sabah menerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) berhasrat mengadakan lawatan ke China bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu selepas pandemik COVID-19 berakhir. Ia susulan kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu Liang Caide di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Baru-baru ini Kerajaan Sabah mengumumkan pelaburan Projek RM7 Bilion Lok Kawi Resort City di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ)  kluster sektor pelancongan melibatkan kumpulan Yayasan Sabah dengan Syarikat Tegas Bangsa Sdn Bhd (Anak Syarikat Pavilion REIT), pelaburan SK Nexilis Korea RM2.3b produksi kerajang tembaga dan Linaco Group of Companies RM 200 juta (Pemprosesan Kelapa). Kerajaan Sabah perlu meyakinkan rakyat bahawa ekonomi sedang pulih, pelaburan meningkat dan rakyat mendapat pekerjaan.

[ARTIKEL BERKAITAN- Warisan lebih sakit hati pelaburan RM2.5B SK Nexilis Korea, Linaco Group ]

Lok Kawi Resort City Bernilai RM7 Bilion Inisiatif Sabah Maju Jaya

Kerajaan Sabah perlukan pelaburan baru. Jadi jika ada syarikat daripada Semenanjung mampu membuat pelaburan yang lebih menguntungkan Sabah maka tidak semestinya menunggu syarikat daripada luar negara berbuat demikian. 

Kerajaan Sabah tidak perlu menunggu setahun lagi bagi penyedia tenaga bebas (IPP) berkapasiti 1,000 Mw dibina sebagaimana dikatakan oleh Timbalan Ketua Menteri. Jika ada pihak yang mampu membiayai sepenuhnya secara persendirian Projek Solar Berskala Besar (LSS) 600MWac hingga 1000 MWac dengan kos lebih RM3 bilion ke Sabah mengapa tidak Kerajaan Sabah  dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menerimanya.

Jika mahu Sabah menjadi destinasi pelaburan, Kerajaan Sabah perlu meningkatkan infrastruktur jalan, bekalan air dan elektrik. 

 

 

Comment