'Bodyguard' dirotan, diacu pistol, agama dihina kerana berpuasa
22:04 Apr 14, 2021  |  By SabahKini2
'Bodyguard' dirotan, diacu pistol, agama dihina kerana berpuasa

Kerana berpuasa dua orang 'Bodyguard' didera oleh bosnya bernama Mr Chung Chee Yang. Katanya 'Siapa yang bayar gaji U, saya ke u punya Allah, Saya berhenti U orang nanti U minta Allah U bayar gajilah".

Tidak sampai 24 jam selepas gambar dan salinan laporan polis mengenai seorang majikan mendera dua pengawal peribadinya tular di media sosial, suspek berusia 43 tahun itu diberkas di kediamannya di Klang, Selangor.

Suspek bernama  Mr Chung Chee Yang ditahan kerana melakukan ugutan jenayah dengan pistol dan merotan dua lelaki itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mereka berpuasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, berkata kejadian bermula apabila pengadu bernama Mohd Azminizam dan seorang rakannya didatangi majikannya yang bertanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 malam tadi.

Mohamad Zainal berkata selepas pengadu dan rakannya memaklumkan mereka berpuasa, majikannya bertindak memarahi dan menampar pengadu di kepala, sebelum mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang Selangor.

“Apabila sampai di rumah suspek, pengadu dan rakannya telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan dan diacukan pistol.

“Pengadu dan rakannya mengalami lebam di bahagian belakang badan kemudiannya mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, sebelum membuat laporan polis di Balai Klang pada kira-kira jam 3 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata siasatan awal polis mendapati pengadu dan rakan sekerjanya bekerja di bawah syarikat kawalan keselamatan  GMP Kaisar Sekuriti Sdn Bhd sebagai pengawal peribadi.

Beliau berkata siasatan polis mendapati punca kejadian disebabkan, suspek tidak suka pengadu dan rakannya berpuasa pada bulan Ramadan ini dan memaksa mereka supaya tidak berpuasa.

“Apabila pengadu enggan dengan arahan tersebut, suspek tidak puas hati dan telah tamparnya sekali di kepala semasa berada di Jalan Pinang Kuala Lumpur.

“Pekerja suspek telah memukul pengadu dan rakannya semasa berada di rumah suspek di Batu Nilam Klang, Selangor dengan menggunakan rotan sehingga menyebabkan pengadu lebam dan mengalami pembekuan darah.

“Suspek semasa berada di rumahnya telah merampas sepucuk pistol jenis Glock milik pengawal peribadinya dan telah mengacukan ke arah pengadu sambil membuat ugutan bunuh,” katanya.

Berikutan itu, Mohamad Zainal berkata polis sudah membuka kertas siasatan terhadap suspk mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan melakukan ugutan jenayah.

“Polis juga merampas sepucuk pistol jenis Glock milik pengawal rapat yang digunakan untuk mengugut kedua-dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata polis juga masih menjalankan usaha untuk mengesan dan menahan beberapa suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes terbabit.

 

4 Comments