Setiausaha Agung Parti STAR Angkat Sumpah Timbalan Menteri Persekutuan
15:04 Apr 16, 2021  |  By SabahKini2
Setiausaha Agung Parti STAR Angkat Sumpah Timbalan Menteri Persekutuan

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan peluang ini kepada parti STAR untuk menyertai Kabinet (pentadbiran) Persekutuan

KUALA LUMPUR, 16 April : Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi hari ini mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri Persekutuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Guan Dee yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengangkat sumpah jawatan itu pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Sumpah Simpan Rahsia di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, Guan Dee ketika ditemui selepas istiadat tersebut mengesahkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan peluang ini kepada parti STAR untuk menyertai Kabinet (pentadbiran) Persekutuan,” katanya. 

Guan Dee turut melahirkan aspirasi untuk meningkatkan semula sektor pelancongan iaitu antara sektor terkesan akibat COVID-19. – BERNAMA

5 Comments