Pelaburan Penapisan Gula, Akuakultur bernilai RM235 juta di Sabah
19:04 Apr 20, 2021  |  By SabahKini2
Pelaburan Penapisan Gula, Akuakultur bernilai RM235 juta di Sabah

Pelaburan Industri pertanian negeri. Sawit Kinabalu Group, syarikat milik kerajaan Sabah, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua pihak iaitu Borneo Lestari Sdn Bhd dan Admuda Sugar Sdn Bhd bernilai RM235 juta

KOTA KINABALU : Sawit Kinabalu Group, syarikat milik kerajaan Sabah, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua pihak iaitu Borneo Lestari Sdn Bhd dan Admuda Sugar Sdn Bhd untuk memajukan industri pertanian negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelaburan langsung domestik bernilai RM235 juta dalam usaha itu adalah seiring dengan inisiatif berdasarkan pelan pembangunan ekonomi lima tahun, Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Sawit Kinabalu Group, cabang pelaburan utama kerajaan negeri, akan menjalinkan kerjasama dengan Admuda Sugar untuk mewujudkan kilang penapisan gula pertama Sabah di Kimanis, Papar.

“Ia juga akan bekerjasama dengan Borneo Lestari bagi projek akuakultur penternakan ikan siakap di Langkon, Kota Marudu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu di sini, pada Isnin.

Sawit Kinabalu Group diwakili Pengarah Urusan, Bacho Jansie manakala Admuda Sugar dan Borneo Lestari diwakili oleh pengarah masing-masing iaitu Datuk Seri Raja Sulaiman Raja Shariff dan Irwin Wong menandatangani MoU itu.

Hajiji, yang juga merupakan pengerusi Sawit Kinabalu Group, berkata pelaburan bagi penapisan oleh Admuda Sugar dianggarkan bernilai RM150 juta.

Pembangunan itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 31.97 hektar milik Sawit Kinabalu Group, katanya.

Beliau berkata kilang penapisan gula itu yang dijangka beroperasi tahun depan akan mengeluarkan gula berjenama Gula Kinabalu.

Borneo Lestari pula dijangka melabur sejumlah RM85 juta dalam projek akuakultur empat fasa di kawasan seluas 14.16 hektar milik Sawit Kinabalu Group.

Hajiji berkata dengan menggunakan sistem akuakultur edaran semula, projek itu mampu mengeluarkan minimum 1,000 tan sehingga maksimum 1,250 tan siakap setahun.

“Kedua-dua projek ini dijangka mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan langsung dan 1,000 pekerjaan tidak langsung,” katanya.

Pada majlis itu, beliau juga menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 bagi mewakili Sawit Kinabalu Group kepada Madrasah Tahfiz Darul Ulum Azzkia yang terletak di Papar, dan Rumah Anak Yatim dan Miskin HOME di Tuaran. – BERNAMA

Comment