Intel Malaysia bangun solar di Kulim dan Pulau Pinang
14:04 Apr 22, 2021  |  By SabahKini2
Intel Malaysia bangun solar di Kulim dan Pulau Pinang

Projek Solar Intel itu adalah yang terbesar oleh Intel di luar Amerika Syarikat (AS).

KUALA LUMPUR: Intel Malaysia kini menggunakan tenaga solar untuk enam bangunannya di kampus Kulim dan Pulau Pinang, dengan pemasangan solar 3.2 megawatt (MW) siap Januari lalu.

Pemasangan itu mencapai kapasiti keseluruhan 4.1 MW disediakan oleh NEFIN, pembangun tenaga boleh diperbaharui.

Projek itu adalah yang terbesar oleh Intel di luar Amerika Syarikat (AS).

Kerja pembinaan bermula pada 2020 semasa pandemik global yang memberikan banyak cabaran, namun sistem solar itu mula beroperasi pada Januari 2021.

Ia juga akan mengurangkan pelepasaran karbon dioksida sehingga kira-kira 3,800 tan.

Naib Presiden Korporat dan Pengurus Besar Pengeluaran Ujian Pemasangan merangkap Pengarah Urusan Intel Malaysia, Robin Martin, berkata pelaburan berterusan tenaga alternatif adalah tonggak penting komitmen berterusan Intel untuk mengoperasikan kemudahan pengeluaran dengan impak paling rendah kepada alam sekitar.

"Penggunaan tenaga boleh diperbaharui dijana di tapak lokasi Intel Malaysia adalah bahagian penting usaha Intel sebagai korporat bertanggungjawab melakukan yang lebih baik untuk bumi, selain sebahagian sasaran RISE 2030 kami untuk mencapai 100 peratus tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Ladang panel solar baharu di Intel Malaysia merangkumi kawasan bersamaan kira-kira 900 petak letak kereta dan tambahan 50,208 kaki persegi di bumbung bangunan, menjana sekitar 6,000 MW sejam elektrik setiap tahun.

Penggunaan elektrik bangunan kampus semasa waktu kemuncak sebahagiannya akan digantikan oleh sumber solar.

Bekalan tenaga daripada sumber solar juga membantu mempelbagai dan memperkenalkan campuran tenaga boleh

diperbaharui kepada bekalan tenaga kampus, yang kebanyakannya dijana oleh sumber gas asli serta arang batu.

 
Comment