Kerajaan GRS beri bantuan khas Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam
19:04 Apr 23, 2021  |  By SabahKini2
Kerajaan GRS beri bantuan khas Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam

Khabar gembira buat penjawat awam Sabah juga pesara. Pembayaran bantuan khas dibayar sekali dengan gaji bulan Mei ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan Aidilfitri 2021 kepada penjawat awam negeri berjumlah RM500.c

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan khas itu diberikan kepada semua penjawat awam negeri Gred 54 dan ke bawah.

Turut menerima bantuan khas itu ialah pihak berkuasa berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

“Pembayaran bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 7 Mei 2021.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai khidmat bakti dan pengorbanan semua penjawat awam negeri melaksanakan tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutama ketika menghadapi pandemik COVID-19 di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Semalam, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Kepada pesara kerajaan pula, bantuan RM250 akan disalurkan. 

1 Comment