PKPD di Sabah, Sarawak dilanjut 2 minggu
01:04 Apr 25, 2021  |  By SabahKini2
PKPD di Sabah, Sarawak dilanjut 2 minggu

Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Tawau, Sabah dan satu lokaliti di Matu, Sarawak selama dua minggu lagi.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Tawau, Sabah dan satu lokaliti di Matu, Sarawak selama dua minggu lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan, Tawau yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan hingga 9 Mei depan bermula lusa.

"Hingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 607 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 81 kes positif COVID-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti terbabit.

"KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Sungai Passin, Matu yang juga dijadualkan tamat esok turut dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula lusa hingga 9 Mei ini.

"Setakat ini, KKM sudah melaksanakan 442 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 49 kes positif COVID-19 direkodkan.

"KKM turut melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 19 April lalu iaitu sebanyak lima kes positif," katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan memutuskan untuk menamatkan PKPD di enam lokaliti di Tawau iaitu Taman Cahaya; Jalan Engku Osman; Kuarters Bomba Tawau; Jalan Mesra; Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit mengikut tarikh dijadualkan, esok.

KKM mengesahkan baki kes aktif di semua lokaliti terbabit menunjukkan trend penurunan dan baki kes positif sudah menerima rawatan serta kontak rapat juga sudah diasingkan.

Ismail Sabri juga mengumumkan seramai 269 orang ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam dengan 84 daripadanya kerana gagal mendaftar ketika masuk premis. Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 250 orang dikompaun manakala 16 orang direman dan tiga lagi dijamin.

"Kesalahan yang direkodkan adalah berkaitan aktiviti pusat hiburan (74), gagal mendaftar ketika masuk ke premis (84), tidak memakai pelitup muka (45) dan lain-lain kesalahan (66).

"Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 64,280 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam," katanya.

Sebanyak 3,430 Pasukan Pematuhan membabitkan 15,746 anggota membuat pemantauan di 5,225 buah restoran, pasar raya (4,264), bank (4,350), penjaja (4,289), pasar awam dan tani (2,140), kilang (2,294) dan pejabat kerajaan (993).

Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,677), tempat riadah (1,726), terminal pengangkutan darat (1,262), terminal pengangkutan air (301) dan terminal pengangkutan udara (100).

Pihak berkuasa menahan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat menerusi Op Benteng, semalam. Dalam operasi itu juga, pihak berkuasa turut mengesan 157 buah bot serta kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

Mengenai kuarantin wajib, Ismal Sabri berkata seramai 1,205 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara, semalam.

"Sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 183,821 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 75 hotel dan sembilan institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,009 individu dikuarantin dan 175,210 orang dibenarkan pulang manakala 1,602 lagi dibawa ke hospital," katanya. bh

4 Comments