AMK PKR kecam ‘Bos PKR Sabah’ Christina hantar bantuan dua minggu lagi ke Tawau
06:04 Apr 27, 2021  |  By SabahKini2
AMK PKR kecam ‘Bos PKR Sabah’ Christina hantar bantuan dua minggu lagi ke Tawau

Christina MP Tawau kata dua minggu lagi datang Tawau beri bantuan. AMK PKR Sabah kecam 'Bosnya' katanya rakyat dah kebulur. Christina seru sebelum bertindak demo rujuk dia atau pegawainya..

Disaat beberapa kawasan di Parlimen Tawau menjalani perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Ahli Parlimen Tawau Christina Liew berkata beliau masih dalam proses mempersiapkan 2,000 bantuan makanan bagi kawasan parlimennya.

Jika tiada halangan katanya akan diedarkan dalam dua minggu lagi.

“Lagi seminggu dua saya akan balik Tawau, dan saya akan berikan kepada mereka,” kata Liew

Susulan demonstrasi haram kumpulan Mukmin Nantang bukan orang kampung Muhibbah yang dikenakan PKPD sehingga ditangkap polis kerana kedegilan mereka Christina Liew berpendapat sewajarnya kumpulan aktivis itu berjumpanya atau pegawainya.

“Mungkin mereka sewajarnya berhubung dengan pegawai saya dahulu sebelum berbuat demikian.

“Apa-apa pun saya lega mereka ada peguam. Peguam mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Pengerusi PKR Sabah itu.

Semalam 7 pendemo diketuai Mukmin Nantang dibebaskan reman selepas mengadakan perhimpunan tanpa permit dan melanggar perintah PKPD.

AMK Sabah selar Pengerusi PKR Sabah

Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Sabah Razeef Rakimin membidas kenyataan Ahli Parlimen Tawau Christina Liew bahawa bantuan makanan hanya akan diedar dalam tempoh "satu dua minggu" lagi.

"Bakul makanan dalam dua minggu, nak tunggu rakyat kebulur?

"Bagi saya, beliau sebagai wakil rakyat Tawau tidak sepatutnya memberikan alasan sedemikian.

"Saya tidak pasti beliau tahu atau tidak, tetapi PKPD di Kampung Muhibbah Raya dilanjutkan selama dua minggu.

"Bukankah pelik bila beliau menyatakan bakul makanan akan diagihkan dalam tempoh dua minggu lagi. Itupun setelah beliau balik ke Tawau," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Razeef, badan bukan kerajaan yang tidak menerima gaji mampu membungkus 2,000 bungkusan bakul makanan dalam tempoh sehari untuk diagihkan.

Justeru, katanya, alasan yang diberikan Liew "sangat dangkal dan agak lucu".

Razeef juga berkata pengagihan bakul makanan tidak semestinya memerlukan wakil rakyat berada di lokasi.

"Apa peranan pusat khidmat Parlimen Tawau jika beliau tidak boleh berikan arahan agar segera menghantar bakul makanan ke kawasan terbabit," katanya.

Tindakan MPT

Sementara itu dalam satu kenyataan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) semua kawasan terjejas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 20 lokaliti dalam daerah itu mendapat bantuan.

Presiden MPT Arnold Joibi berkata tidak ada isu penduduk terjejas PKPD yang dipinggirkan daripada menerima bantuan bakul makanan.

“Sejumlah 8,572 bakul makanan telah diagihkan kepada lokaliti terjejas membabitkan sejumlah 7,372 ketua isi rumah sejak 1 April.

“Ini termasuk 540 bakul makanan yang diedarkan di lokaliti Kampung Muhibbah Raya (Jalan Morell) di mana enam individu ditahan kerana cuba mengadakan demonstrasi dengan mendakwa saudara mara mereka di sana tidak menerima bantuan itu,”

Arnold berkata memandangkan PKPD dilanjutkan di Kampung Muhibbah Raya hingga 8 Mei depan, bakul makanan tambahan akan dibekalkan ke lokaliti itu bermula 26 April.

“Bantuan itu juga akan merangkumi Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan, yang turut menyaksikan PKPD bagi kedua-dua lokaliti dilanjutkan hingga 9 Mei,” katanya. 

Beliau berkata tindakan MPT itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard yang ketat kerana Tawau secara konsisten telah merekodkan jumlah tertinggi kes baharu COVID-19.

Selain itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa PKPD di enam zon di Tawau berakhir seperti Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit. 

 

1 Comment