Kritikal? Penggunaan katil ICU di Lembah Klang capai 90 peratus - KKM
14:05 May 02, 2021  |  By SabahKini2
Kritikal? Penggunaan katil ICU di Lembah Klang capai 90 peratus - KKM

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di Lembah Klang secara purata keseluruhannya telah mencapai hampir 90 peratus menurut statistik dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di Lembah Klang secara purata keseluruhannya telah mencapai hampir 90 peratus menurut statistik dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Terdapat 277 katil rawatan kritikal / ICU untuk pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 di Lembah Klang. Daripada jumlah ini, 152 katil rawatan kritikal / ICU diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan semasa mencapai lebih daripada 88% pada 1 Mei 2021.

Kementerian Kesihatan Malaysia memantau penggunaan dan ketersediaan katil rawatan kritikal / ICU dan bukan kritikal bagi pesakit COVID-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah.

Enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal/ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati telah melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, dengan ada antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus

KKM dilaporkan akan bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

Kerjasama itu termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung kerajaan pada caj rawatan yang dipersetujui.

Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

 

Comment