KKM Cadang Bina Hospital Medan Di Tawau, Sabah
22:05 May 03, 2021  |  By SabahKini2
KKM Cadang Bina Hospital Medan Di Tawau, Sabah

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengesahkan KKM sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan pembinaan hospital medan dapat direalisasikan secepat mungkin di tiga negeri berkenaan.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan hospital medan di Tawau, Sabah, Sarawak dan Kelantan berikutan peningkatkan bilangan pesakit Covid-19 yang berada pada Tahap 4 dan 5 di hospital di negeri terbabit.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengesahkan KKM sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan pembinaan hospital medan dapat direalisasikan secepat mungkin di tiga negeri berkenaan.

Adham berkata, pembinaan hospital medan dilihat satu keperluan mendesak selepas kadar peratusan pesakit Covid-19 berada pada Tahap 4 dan 5 kini meningkat daripada 6.7% pada Januari kepada 35% ketika ini.

“Sehingga kini KKM melihat memang ada keperluan untuk kerajaan mengadakan hospital medan di Tawau, Sabah, Sarawak dan Kelantan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri berkenaan.

“Jadi kita sudah bincang dengan Kementerian Pertahanan supaya mereka boleh mewujudkan hospital medan untuk menempatkan pesakit bukan kritikal di sana.

“(Ini) supaya beban dalam hospital yang terjejas kerana peningkatan kes Covid-19 dapat dikurangkan, sekali gus membolehkan kita menambah bilangan katil untuk merawat pesakit kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media mingguan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Putrajaya.

Sementara itu, Adham juga mengesahkan kerajaan sudah mengerakkan lebih 8,000 kakitangan kementerian lain ke KKM bagi membantu mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara, termasuk hampir 800 kakitangan yang digerakkan ke Sarawak, sejak 11 Januari lalu.

Beliau berkata, KKM juga sudah mengarahkan petugas di Bahagian Pergigian di Kelantan dan pelatih di Institut Latihan Kesihatan Malaysia untuk membantu mengurus kes Covid-19 di negeri berkenaan.

“KKM juga mendapat peruntukan untuk menambah 11,000 lagi petugas di semua disiplin di bawah kementerian dan ia sedang giat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham mengesahkan semua aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan sehingga 17 Mei, sementara pengumuman baharu dibuat kerajaan tidak lama lagi.

Tindakan berkenaan perlu selepas kerajaan mengesan terdapat 13 kluster baharu Covid-19 berkaitan aktiviti rentas negeri sejak April.

Antara kluster berkaitan aktiviti rentas negeri termasuk Kluster Sabu di Kedah, berasal dari Pulau Pinang; Kluster Taman Malim Jaya di Melaka (asal Selangor); Kluster Jalan Gapang di Negeri Sembilan (asal Melaka); Kluster Taman Rakyat di Terengganu (asal Sabah); dan Kluster Kampung Domis (asal Selangor).

“Kluster Kampung Bunut Sarang Burung di Kelantan pula berpunca daripada aktiviti rentas negeri dari Kuala Lumpur. Kluster Bunut Sarang Burung berkaitan dengan varian Afrika Selatan, membabitkan 10 kes dikesan di Kelantan baru-baru ini.

“Kluster Seri Kuantan di Pahang pula berasal dari Kuala Lumpur; Kluster Pangkalan Batek di Melaka (asal Selangor); Kluster Taman Changkat di Perak (asal Selangor); Kluster Jalan Kesidang, Kota Shah Bandar, dan Air Budi di Melaka (asal Perak, Kuala Lumpur, dan Selangor); dan Kluster Jalan Emas di Melaka (asal Selangor),” katanya.

 

Comment