6 daerah di Selangor kena PKP
06:05 May 05, 2021  |  By SabahKini2
 6 daerah di Selangor kena PKP

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah itu adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dilaksanakan PKP.

KUALA LUMPUR: Enam daerah di Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Khamis ini (6 Mei) hingga 17 Mei, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah itu adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dilaksanakan PKP.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berkuat kuasa Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti pelaksanaan PKP yang dilaksanakan di Kelantan dan lima daerah di Kedah," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, semua aktiviti ekonomi masih dibenarkan di enam kawasan berkenaan dengan pelaksanaan SOP yang ketat manakala aktiviti sosial tidak dibenarkan.

Katanya, premis makanan seperti restoran, 'food truck', penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga jam 12 tengah malam sahaja manakala kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga jam 10 malam.

"Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 10 malam tetapi stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

"Selain itu, hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi seperti biasa manakala operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 2 petang.

"Aktiviti bazar Ramadan akan diputuskan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Bagi mengetahui SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini termasuk mengetahui apa yang boleh dilaksanakan dan dilarang sepanjang PKP, orang ramai boleh mengakses laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my

Beliau menjelaskan bagi memastikan tiada kekeliruan, segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan atau negeri akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat MKN.

Katanya, MKN memutuskan PKP selepas meneliti pembentangan Kerajaan Selangor serta merujuk kepada KKM dan data sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 Negeri Selangor telah mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021," katanya

Comment