Perangi Covid, Segerakan Vaksinasi
16:05 May 15, 2021  |  By SabahKini2
Perangi Covid, Segerakan Vaksinasi

Program vaksinasi negara iaitu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah satu program yang baik, namun perlaksanaannya perlu diperbaiki. Ramai rakyat masih belum sedar dan berdaftar. Kalau di Sabah, rakyat luar bandar lebih faham kepentingan SOP

1. Perangi Covid-19 dengan pengambilan vaksin, bukan sekadar dengan hanya mematuhi SOP. Perkara ini penting untuk kita fahami, di kala kita sibuk berbahas tanpa henti mengenai SOP. Perkara yang membimbangkan apabila pendaftaran dan vaksinasi rakyat Sabah amat rendah iaitu hanya 16.6% berdaftar dan 3.2% yang sudah divaksin. Kadar vaksinasi negara juga umumnya rendah sekitar 3.6% jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

2.  Proses vaksinasi perlu disegerakan kerana ia adalah kunci kemenangan kita atas Covid-19. Dengan kadar kes Sabah yang agak terkawal, kita perlu memperhebatkan usaha vaksinasi ke seluruh Sabah. Walaupun Malaysia melaksanakan PKP 3.0, kadar kes harian Sabah masih stabil di bawah 100 kes.

3. Program vaksinasi negara iaitu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah satu program yang baik, namun perlaksanaannya perlu diperbaiki. Ramai rakyat masih belum sedar dan berdaftar. Kalau di Sabah, rakyat luar bandar lebih faham kepentingan SOP daripada vaksinasi. Selain dari itu, masih ada keraguan berterusan di kalangan rakyat mengenai vaksin pilihan dan kesan sampingan vaksin. Ada yang layak mendaftar tetapi enggan mendaftar. Ada yang sudah awal mendaftar vaksin, tapi masih menunggu temujanji.

4. Kita perlu sehati sejiwa dalam perkara ini. Jika terdapat sebarang kelemahan dalam PICK, kita cari jalan terbaik untuk perbaikinya bersama. Yang penting, kita pastikan PICK ini bergerak pantas untuk kebaikan kita semua. Pandangan saya, kerajaan boleh melibatkan sektor penjagaan kesihatan swasta untuk mempercepat usaha vaksinasi. Ia juga bakal meringankan beban sektor penjagaan kesihatan awam dalam usaha memastikan program ini dapat diadakan secara menyeluruh.

5. Kita perlukan strategi baru untuk memastikan PICK disegerakan dengan lebih berkesan. Saya syorkan beberapa cadangan. Pertama, perhebatkan lagi kerjasama dengan pelbagai pihak untuk bantu pendaftaran rakyat luar bandar Sabah dalam PICK. Kedua, percepatkan persediaan bekalan vaksin secukupnya untuk rakyat Sabah. Ketiga, perbanyakkan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk Sabah mengikut kesesuaian lokaliti, terutamanya di luar bandar.

6. Dalam pada itu, vaksinasi ini penting untuk merancakkan ekonomi Sabah dan memberi keyakinan kepada pelabur. Ia juga akan menjadikan rakyat Sabah sebagai pemain ekonomi yang proaktif. Bank Negara juga sudah meramalkan kadar ekonomi Malaysia kembali positif tahun ini, jika program vaksinasi kita bergerak seperti yang dirancang.

7. Sebagai perbandingan, kita lihat saja kecepatan pemulihan ekonomi negara jiran kita Indonesia (4.99%) dan Singapura (31.67%). Ini kerana vaksinasi ternyata membantu Kerajaan mengawal Covid-19 dengan lebih cekap dan membolehkan tumpuan diberikan kepada pemulihan ekonomi. Oleh itu, saya menyeru kita semua berganding bahu dan berikan kerjasama kepada PICK dan khususnya Program Vaksinasi untuk Sabah. Kita bersetuju untuk patuhi SOP tetapi usaha mempercepatkan program vaksin untuk rakyat perlu diperkasakan bagi kepentingan bersama.

#perangicovid #segeravaksin

By Datuk Seri Salleh Said Keruak

Baca 

4 Comments